SUPP Kekal Kukuh Selepas 66 Tahun, Terus Perjuang Hak Sarawak – Dato Lo

Disiarkan pada 04 Jun 2025
Sumber Berita: UKAS


KUCHING: Semangat perjuangan dan keteguhan Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) yang kini mencecah usia 66 tahun terus utuh dalam landskap politik negeri ini, jelas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Kitang, Dato Lo Khere Chiang.

Beliau berkata, ulang tahun parti berkenaan bukan sahaja mengimbau sejarah penubuhan parti tertua di Sarawak, malah menjadi lambang solidariti dan hala tuju masa depan yang lebih mampan untuk negeri ini.

“Itulah sebabnya kita berkumpul di sini hari ini, untuk menunjukkan solidariti kita, untuk mengingati perjuangan masa lalu dan untuk membina masa depan kita bersama sebagai satu pasukan dalam Gabungan Parti Sarawak (GPS),” katanya ketika ditemui selepas upacara menaikkan bendera sempena ulang tahun ke-66 SUPP di Ibu Pejabat SUPP, Jalan Tan Sri Ong Kee Hui, pada Rabu.

Timbalan Ketua Setiausaha Agung SUPP itu menegaskan bahawa nilai sejarah tidak boleh dipandang ringan kerana ia mencerminkan asal-usul serta perjalanan panjang yang dilalui oleh parti dan negeri Sarawak itu sendiri.

"SUPP ialah parti politik tertua di Sarawak dan apabila kita sebut parti politik tertua, ia adalah parti yang kaya dengan budaya dan sejarah."

"Dari awal lagi, kami memperjuangkan kemerdekaan untuk Sarawak. Pemimpin SUPP memperjuangkan kemerdekaan untuk Sarawak dan sehingga hari ini, kami dapati subjek itu masih ada. Kami mahu melindungi Sarawak. Kami mahu melindungi sumber kami,” ujarnya lagi.

Dato Lo yang juga Pengerusi SUPP Cawangan Batu Kitang turut menyuarakan keyakinannya terhadap barisan kepimpinan negeri dan parti yang diterajui oleh Presiden SUPP, Datuk Amar Profesor Dr Sim Kui Hian yang disifatkannya sebagai pemimpin tepat dalam mendukung aspirasi rakyat Sarawak.

"Kita dapat melihat bahawa negeri ini bergerak ke arah yang betul, dengan mempromosikan pendidikan, dengan menggalakkan belia kita untuk mendapat pendidikan kerana ia sangat penting.

“SUPP yang diketuai oleh Datuk Amar Dr Sim, kami bergerak secara bersama untuk memastikan Sarawak akan kekal kukuh dan akan berkembang lebih kukuh dari hari ke hari,” tegasnya.

Beliau turut melahirkan rasa bangga apabila melihat peningkatan penyertaan golongan muda dalam SUPP, sambil menyifatkannya sebagai satu perkembangan positif dalam kesinambungan perjuangan parti.

“Kita perlu mendidik anak muda tentang kepentingan SUPP dan GPS dalam mempertahankan hak Sarawak. Ini bukan sekadar soal politik, tetapi tentang masa depan negeri ini,” tambahnya.

Upacara menaikkan bendera berkenaan telah disempurnakan oleh Timbalan Premier Sarawak merangkap Presiden SUPP Sarawak Datuk Amar Profesor Dr. Sim Kui Hian.

Turut hadir, Menteri Pengangkutan Sarawak merangkap Timbalan Presiden SUPP Dato Sri Lee Kim Shin, ADUN Kota Sentosa Wilfred Yap Yau Sin, dan Datuk Bandar Majlis Bandaraya Kuching Selatan Dato Wee Hong Seng.-EDISI UKAS