Simunjan Rancang Bina Arca Udang Galah Terbesar di Dunia Sebagai Mercu Tanda Baharu

Disiarkan pada 29 May 2025
Sumber Berita: ukas


SIMUNJAN: Satu mesyuarat khas telah diadakan di Bilik Mesyuarat Utama Majlis Daerah Simunjan bagi membincangkan cadangan pembinaan arca udang galah sebagai mercu tanda baharu Daerah Simunjan, pada Khamis.

Mesyuarat ini telah dipengerusikan oleh Ahli Parlimen Batang Sadong, Rodiyah Sapiee dan turut dihadiri oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simunjan, Awla Dris bersama wakil agensi kerajaan serta pemimpin masyarakat tempatan.
Cadangan pembinaan arca tersebut bertujuan mengetengahkan identiti Simunjan yang amat sinonim dengan hasil udang galah selain memperkukuh usaha menarik pelancong ke daerah ini.

Menariknya, arca ini dicadangkan sebagai salah satu yang terbesar di dunia, sekaligus bakal menjadikan Simunjan sebagai lokasi tumpuan pelancong baharu di Sarawak.

Sementara itu Rodiyah Sapiee memberitahu, pembinaan arca ini bukan sekadar mercu tanda fizikal, tetapi juga pemangkin kepada pembangunan ekonomi setempat.

“Simunjan sememangnya dikenali dengan hasil udang galahnya. Pembinaan arca ini mampu mempromosi keunikan daerah ini serta memberi ruang kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan untuk berkembang melalui sektor pelancongan,” kata beliau.

Sementara itu, ADUN Simunjan, Awla Dris turut menyambut baik cadangan tersebut dan menegaskan kepentingan pembangunan berasaskan identiti tempatan.

“Kita perlukan mercu tanda yang menggambarkan Simunjan. Arca ini adalah langkah simbolik yang bakal memacu transformasi landskap daerah ini,” katanya.

Antara perkara utama yang dibincangkan dalam mesyuarat termasuk reka bentuk awal arca, lokasi strategik pembinaan, sumber peruntukan kewangan serta pelan promosi dan penyelenggaraan selepas projek siap kelak.

Projek ini kini berada dalam peringkat perancangan awal dan akan diteruskan dengan kajian kebolehlaksanaan serta libat urus masyarakat sebelum pelaksanaan muktamad diputuskan.

Turut hadir dalam mesyuarat tersebut ialah Penguasa Tanah dan Survei Bahagian Samarahan, Mohammad Zunica Mohamad Sapi’ee; Pemangku Setiausaha Majlis Daerah Simunjan, Sabli Razak; Pegawai Tadbir Pejabat Daerah Simunjan, Samantha Claire Danial; Pereka Arca, Mohamad Kasat Bujang Narawi serta wakil-wakil agensi teknikal dan pemimpin masyarakat setempat.-EDISI UKAS