KUCHING: Peranti prototaip penukar kuasa berasaskan kecerdasan buatan (AI) yang pertama di dunia,
KETEQ.AI merupakan satu pencapaian membanggakan bagi anak Sarawak.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata prototaip tersebut dibangunkan oleh anak Sarawak melalui kerjasama antara Sarawak Microelectronics Design (SMD) dan CSA Catapult dari United Kingdom.
Menurutnya, peranti berteknologi tinggi ini merupakan satu pencapaian revolusioner dalam membetulkan kesilapan sistem kuasa secara masa nyata.
"Ini bakal mengubah cara kecerdasan buatan terbenam dan terdesentralisasi digunakan untuk menjadikan mesin lebih pintar dan cekap, terutamanya dalam tugas yang memerlukan kelajuan, kestabilan dan kawalan autonomi.
“SMD kini memberi tumpuan kepada usaha untuk membawa
KETEQ.AI ke tahap kesediaan komersial, memastikan ia mencapai piawaian tertinggi dari segi prestasi dan kebolehpercayaan.
“Pencapaian ini mencerminkan keupayaan Sarawak yang semakin berkembang dalam menghasilkan inovasi berimpak tinggi dan sedia industri,” katanya dalam ucapan penggulungannya dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19 pada Rabu.
Premier Sarawak menambah, lawatan ini juga menandakan setahun sejak pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) Semikonduktor Sarawak–UK dengan
KETEQ.AI merupakan bukti kejayaan kerjasama antarabangsa yang mampu menghasilkan teknologi yang boleh diimplementasikan secara nyata.
Premier Sarawak menambah, pihaknya juga telah memulakan proses pendaftaran Harta Intelek (IP) bagi melindungi inovasi teras dan algoritma proprietari di sebalik
KETEQ.AI, sekali gus memastikan perlindungan undang-undang dan meletakkan inovasi tersebut sebagai peneraju global dalam reka bentuk semikonduktor berasaskan AI.
“Keseluruhan inisiatif berani ini akan melonjakkan Sarawak ke arah menjadi hab semikonduktor utama,” jelasnya. -EDISI UKAS