KUCHING: Sarawak mencatat sejarah baharu dalam prestasi kewangannya apabila berjaya merekodkan hasil tertinggi sebanyak RM14.187 bilion pada tahun 2024.
Timbalan Premier Sarawak merangkap Menteri Kewangan dan Ekonomi Baru II, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, kejayaan ini adalah hasil usaha berterusan dalam penstrukturan semula hasil negeri yang digerakkan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg.
“Pada tahun 2024, Sarawak mencatat jumlah hasil sebanyak RM14.187 bilion, iaitu yang tertinggi dalam sejarah negeri ini. Kejayaan cemerlang ini adalah hasil daripada usaha berterusan dalam penstrukturan semula hasil, yang dimulakan dan dipimpin oleh YAB Premier,” katanya semasa sesi penggulungan kementeriannya dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19, pada Rabu.
Katanya, sebahagian besar hasil negeri disumbangkan oleh cukai jualan negeri ke atas minyak dan gas, yang sejak diperkenalkan pada Januari 2019 telah menyumbang RM21.38 bilion setakat April 2025.
Manakala perbelanjaan biasa 2024 pula berjumlah RM12.71 bilion, termasuk RM4.91 bilion untuk operasi dan RM7.8 bilion kepada Akaun Dana Pembangunan.
Bagi perbelanjaan pembangunan katanya, sejumlah RM8.66 bilion telah dibelanjakan, bersamaan 95 peratus daripada bajet pembangunan negeri tahun tersebut.
“Bagi empat bulan pertama 2025, kerajaan negeri telah mengutip RM4.3 bilion atau 30 peratus daripada unjuran hasil tahunan RM14.2 bilion. Sumbangan utama hasil termasuk cukai jualan negeri (RM1.76 bilion), pampasan tunai hak minyak dan gas (RM1.17 bilion), dan dividen (RM608 juta),”ujar beliau.
Namun, beliau mengingatkan bahawa persekitaran ekonomi global yang mencabar dan ketidaktentuan geopolitik yang menjejaskan pasaran minyak dan gas dijangka memberi kesan kepada unjuran hasil negeri tahun ini.
Sehingga April, perbelanjaan biasa yang telah diluluskan berjumlah RM3.68 bilion manakala perbelanjaan pembangunan berjumlah RM1.44 bilion.-EDISI UKAS