Sarawak Bina 18 Anjung Usahawan Pada Tahun Ini

Disiarkan pada 28 May 2025
Sumber Berita: UKAS


KUCHING: Kerajaan Sarawak terus menggiatkan usaha memperkasa komuniti usahawan di kawasan luar bandar menerusi pembangunan 18 Anjung Usahawan dengan peruntukan keseluruhan berjumlah RM11.5 juta tahun ini.

Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, inisiatif tersebut merupakan sebahagian daripada agenda kerajaan untuk memperkukuh ekosistem perniagaan di negeri ini secara inklusif dan lestari.

“Projek Anjung Usahawan ini memberi tumpuan kepada penyediaan infrastruktur asas keusahawanan khususnya di kawasan pedalaman, bagi membuka lebih banyak peluang ekonomi kepada masyarakat setempat,” katanya semasa sesi penggulungan kementeriannya dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19 pada Rabu.

Setakat suku pertama 2025, enam Anjung Usahawan telah berjaya disiapkan manakala dua lagi sedang dalam pembinaan, manakala baki 10 lagi kini berada dalam pelbagai peringkat pra-pelaksanaan.

Jelas beliau, selain Anjung Usahawan, kementeriannya turut membangunkan 14 kawasan perindustrian baharu melibatkan pelbagai sektor seperti pembuatan, teknologi dan tenaga mampan dengan peruntukan sebanyak RM40 juta.

Dalam pada itu, beliau turut merakamkan penghargaan kepada Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) atas pelaksanaan Program Pembangunan Premis Tamu Desa yang memberi manfaat kepada penjaja kecil di Sarawak.

“Daripada 39 projek di bawah program ini, 26 telah siap manakala 13 lagi dijangka siap sepenuhnya menjelang Jun 2025," katanya sambil menambah sebanyak RM8 juta diperuntukkan bagi membiayai pelaksanaan program ini.-EDISI UKAS