RM1.23 Bilion Diperuntuk Kepada PBT Sarawak, Laksana 189 Projek Pembangunan Wilayah

Disiarkan pada 27 May 2025
Sumber Berita: ukas


KUCHING: Sebanyak RM1.23 bilion telah diperuntukkan kepada 16 Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di Sarawak bagi pelaksanaan 189 projek pembangunan di bawah agensi pembangunan wilayah.

Timbalan Premier Sarawak merangkap Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Amar Profesor Dr Sim Kui Hian berkata, projek tersebut merangkumi pelbagai inisiatif di bawah agensi seperti Agensi Penyelarasan Pembangunan Greater Kuching (GKCDA), Agensi Pembangunan Daerah Betong (BDDA), Agensi Pembangunan Delta Rajang (RADDA) dan lain-lain.

“Antaranya, GKCDA melaksanakan 57 projek, BDDA (63), RADDA (29), IRSDA (29), SADA (9), dan RECODA (2),” katanya dalam sesi penggulungan kementeriannya sempena Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19 pada Selasa.

Sementara itu, bagi pelaksanaan projek-projek di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12), beliau memberitahu, kementeriannya telah menerima siling peruntukan sebanyak RM470.4 juta yang diagihkan kepada 25 PBT.

Sehingga 30 April 2025 ujarnya, sebanyak RM297.2 juta telah disalurkan untuk projek infrastruktur seperti naik taraf jalan raya, sistem perparitan, kemudahan air, tandas awam, perpustakaan, landskap serta lampu jalan dan trafik.

Datuk Amar Dr Sim turut memaklumkan, sebanyak 236 Projek Rakyat telah diluluskan sejak 2018 melibatkan peruntukan RM849.7 juta.

“Sehingga kini, 134 projek telah siap manakala baki 102 sedang dalam pelbagai peringkat pelaksanaan.

“Bagi projek Transformasi Luar Bandar (RTP), sebanyak 7,328 projek telah diluluskan dari tahun 2015 hingga 2025 dengan jumlah peruntukan RM1.288 bilion.

"Daripada jumlah itu, 5,588 projek atau 76 peratus telah berjaya disiapkan oleh PBT,” jelasnya.

Bagi tahun 2025 sahaja jelasnya lagi, sejumlah RM107.67 juta diperuntukkan kepada PBT untuk melaksanakan 738 projek RTP yang kini dalam pelbagai fasa pelaksanaan.

Tambah beliau lagi, kementeriannya turut menerima peruntukan RM283.24 juta tahun ini di bawah Sistem Rekod Jalan Malaysia (MARRIS) bagi penyelenggaraan jalan majlis termasuk bahu jalan, longkang serta komponen berkaitan dalam kawasan pentadbiran PBT.

“Sehingga 30 April lepas, sebanyak RM78.87 juta telah disalurkan kepada pihak berkuasa tempatan untuk tujuan ini. Kawasan Machan, Tebedu dan Krian turut akan menerima manfaat di bawah peruntukan ini,” katanya.

Selain itu katanya, Kerajaan Persekutuan turut menyalurkan dana RM42.45 juta kepada kementeriannya dalam suku pertama 2025 bagi pelaksanaan pelbagai projek pembangunan.-EDISI UKAS