Majlis Ramah Tamah STIU 2025 Serlah Komitmen Hijau, Tadbir Urus Cekap
Disiarkan pada 25 Apr 2025
Sumber Berita: Edisi UKAS
KUCHING: Unit Transformasi dan Inovasi Sarawak (STIU) dengan semangat Aidilfitri dan aspirasi pembangunan lestari telah menganjurkan Majlis Ramah Tamah Aidilfitri 2025 Bersama Rakan Strategik bertemakan “Raya Lestari, Alam Terjaga” di sebuah hotel terkemuka di sini, pada Jumaat.
Majlis tersebut bukan sekadar sambutan perayaan, malah menjadi platform untuk memperkukuhkan sinergi antara agensi kerajaan serta menyampaikan komitmen terhadap tadbir urus yang cekap dan kelestarian alam sekitar.
Majlis disempurnakan oleh Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Operasi) Datu Hii Chang Kee dan dihadiri oleh wakil-wakil kementerian, jabatan kerajaan, serta agensi pelaksana inisiatif transformasi dan inovasi perkhidmatan awam negeri.
Pengarah STIU, Superi Awang Said merakamkan penghargaan kepada rakan-rakan strategik atas sokongan berterusan mereka terhadap pelaksanaan pelbagai inisiatif seperti SCS Scorecard, Anugerah Kualiti Perkhidmatan Awam Sarawak (AKPANS), Sarawak Civil Service Innovation Convention Awards (SCSICA), pensijilan MS ISO 9001:2015, Anugerah Kelestarian Inovasi Perkhidmatan Awam Sarawak (SCS-Next) serta Key Focus Activities 2.0 (KFA 2.0).
Beliau menegaskan bahawa semua inisiatif ini dilaksanakan secara sistematik berasaskan perancangan strategik dan berpandukan aspirasi Kerajaan Sarawak untuk memperkukuh sistem penyampaian awam yang telus, berimpak tinggi serta responsif kepada keperluan rakyat.
Selain itu, majlis ramah tamah Aidilfitri ini turut mengetengahkan inisiatif hijau sebagai simbol komitmen terhadap kelestarian alam sekitar.
Penyampaian simbolik anak pokok markisah dan durian kepada warga kerja dan tetamu kehormat menjadi lambang budaya hijau yang diterapkan dalam kalangan penjawat awam serta masyarakat umum.
STIU sebelum ini juga telah melaksanakan Program Penanaman Pokok Bintangor Bukit di Hutan Simpan Bakam, Miri pada Ogos 2024 dan bakal meneruskan Projek Penanaman 500 Pokok di Hutan Simpan Sabal, Simunjan pada Julai 2025.
Inisiatif ini selaras dengan Kempen Penanaman 100 Juta Pokok Peringkat Kebangsaan dalam usaha menangani perubahan iklim dan memelihara ekosistem semula jadi negara.
Turut hadir dalam majlis tersebut ialah panel penilai AKPANS, Innovation and Quality Coordination Officer (IQCO), Kumpulan Inovatif dan Kreatif (ICC), juruaudit ISO serta pakar bidang Good Regulatory Practice (GRP) yang menjadi tulang belakang kepada peningkatan kualiti perkhidmatan awam di Sarawak. -EDISI UKAS