KUCHING: Kerajaan Sarawak menerusi Kementerian Pengangkutan Sarawak (MOTS) terus komited dalam memastikan kebajikan pelajar negeri ini yang menuntut di luar Sarawak sentiasa terbela menerusi pemberian subsidi tiket penerbangan dan penambahan kekerapan penerbangan semasa musim perayaan.
Menteri Pengangkutan Sarawak, Dato Sri Lee Kim Shin berkata, inisiatif Graduan Pulang Sarawak (iGPS) telah memberi manfaat kepada 13,714 pelajar Sarawak sepanjang tahun 2024.
Menurutnya, program ini membolehkan pelajar yang layak menuntut subsidi sehingga RM300 bagi setiap perjalanan pulang ke Sarawak dari Semenanjung Malaysia, Sabah atau Labuan terhad kepada dua kali setahun.
“Permohonan boleh dibuat sepanjang tahun melalui laman sesawang
yayasansarawak.org.my atau aplikasi mudah alih Yayasan Sarawak Student, dan mesti dikemukakan dalam tempoh 60 hari selepas tarikh penerbangan," katanya.
Beliau berkata demikian semasa sesi pergulungan kementeriannya dalam persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19 pada Isnin.
Sementara itu, beliau memberitahu, syarat kelayakan permohonan termasuklah warganegara Malaysia berumur 18 tahun ke atas, mempunyai sekurang-kurangnya seorang ibu atau bapa berasal dari Sarawak serta mengikuti pengajian sepenuh masa di luar negeri itu.
Di samping itu, pelajar Sarawak katanya turut menikmati bantuan subsidi tiket penerbangan daripada Kerajaan Persekutuan melalui program FlySiswa kendalian Kementerian Pengangkutan Malaysia.
Program ini telah memberi manfaat kepada 16,044 pelajar dari Sarawak pada tahun 2024 dengan subsidi sebanyak RM400 seorang.
“Permohonan FlySiswa dibuka dari 1 Januari hingga 30 November 2025 melalui laman web
flysiswa.mot.gov.my, dan tuntutan boleh dibuat sehingga 31 Disember 2025,” tambah beliau.
Dalam usaha memastikan lebih ramai rakyat Sarawak dapat pulang beraya ke kampung halaman, beliau berkata kementeriannya terus bekerjasama rapat dengan Kementerian Pengangkutan Malaysia serta syarikat penerbangan untuk menambah kekerapan penerbangan pada musim perayaan.
Dedah beliau, semasa Tahun Baharu Cina lalu, sebanyak 98 penerbangan tambahan telah disediakan oleh Malaysia Aviation Group (MAG), AirAsia dan Batik Air, manakala semasa Hari Raya Aidilfitri, sebanyak 46 penerbangan tambahan turut dijalankan.
“Menjelang perayaan Gawai Dayak yang akan datang, sebanyak 28 penerbangan tambahan telah dijadualkan oleh AirAsia, Malaysia Airlines dan FireFly dari Kuala Lumpur, Johor Bahru serta Kota Bharu ke destinasi utama di Sarawak seperti Kuching, Sibu dan Miri,” jelasnya.
Beliau turut menasihatkan orang ramai khususnya pelajar dan keluarga untuk merancang perjalanan lebih awal dan membuat tempahan tiket secepat mungkin bagi mengelakkan kesesakan atau kenaikan harga tiket saat akhir. -EDISI UKAS