KUCHING: Usaha berterusan Kerajaan Sarawak dalam memperluas infrastruktur telekomunikasi terus menunjukkan hasil memberangsangkan apabila liputan perkhidmatan internet di negeri ini kini mencapai 90.2 peratus.
Menurut Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Dato Sri Julaihi Narawi, ini adalah peningkatan daripada 84.8 peratus seperti yang dilaporkan semasa Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak November tahun lepas.
“Setakat ini, sebanyak 4,662 struktur menara telekomunikasi, termasuk struktur atas bangunan telah siap dibina berbanding 4,581 sebelum ini.
“Daripada jumlah tersebut tambahnya, 4,446 menara telah beroperasi "on-air", manakala baki 216 menara dijangka akan beroperasi secara berperingkat sehingga hujung tahun 2025,” katanya semasa sesi pergulungan kementeriannya dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19 pada Isnin.
Selain itu, Dato Sri Julaihi berkata, Kerajaan Sarawak telah memperuntukkan sebanyak RM2.3 bilion sebagai langkah intervensi mempercepatkan peluasan liputan internet di kawasan luar bandar melalui inisiatif Sarawak Linking Urban, Rural and Nation (SALURAN) melibatkan pembinaan menara Sarawak Multimedia Authority Rural Telecommunication (SMART).
Setakat ini, sebanyak 585 daripada 618 menara SMART telah siap dibina, termasuk 18 menara ulangan (repeaters) dengan 480 menara daripada jumlah keseluruhan telah mula beroperasi, manakala selebihnya akan beroperasi secara berperingkat sehingga suku keempat tahun 2025.
Menyentuh mengenai inisiatif Jalinan Digital Negara (JENDELA) di bawah Kerajaan Persekutuan, beliau menjelaskan, sebanyak 906 daripada 909 menara telekomunikasi telah siap dibina di bawah pelaksanaan JENDELA Fasa 1.
Daripada jumlah tersebut katanya, sebanyak 795 menara telah mula beroperasi dengan perkhidmatan 4G, manakala baki menara akan beroperasi secara berperingkat sehingga suku keempat tahun 2025.
“Pelaksanaan 5G bagi tempoh 2023 hingga 2025 juga menunjukkan kemajuan yang memberangsangkan, dengan 574 daripada keseluruhan 576 tapak 5G telah beroperasi setakat ini.
“Baki dua tapak yang belum beroperasi dijangka akan mula berfungsi sepenuhnya menjelang suku kedua tahun 2025,” jelasnya. -EDISI UKAS