Ujian Pertama UP-DLP Sarawak Diadakan 15 dan 16 Oktober 2025

Disiarkan pada 26 May 2025
Sumber Berita: UKAS


KUCHING: Ujian Penilaian Program Dwibahasa Sarawak (UP-DLP Sarawak) yang julung kali diadakan bagi murid Tahun 6 di sekolah-sekolah yang melaksanakan Program Dwibahasa (DLP) Sarawak akan berlangsung pada 15 dan 16 Oktober 2025.

Menurut Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Dato Sri Roland Sagah Wee Inn, penilaian ini merupakan satu langkah penting dalam memastikan keberkesanan pelaksanaan Program Dwibahasa (DLP) Sarawak, dan akan menjadi piawaian penilaian rasmi untuk pelajar Tahun 6 dan Tingkatan 3 yang terlibat dalam program tersebut.

“Inisiatif ini menzahirkan komitmen kami untuk memastikan bahawa standard pendidikan di Sarawak terus mencapai piawaian global yang diiktiraf,” katanya berucap semasa sesi pergulungan kementeriannya dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19 pada Isnin.

Tambah beliau, UP-DLP Sarawak melibatkan tiga mata pelajaran teras dalam kurikulum DLP Sarawak, iaitu Sains, Matematik, dan Bahasa Inggeris.

Kertas peperiksaan bagi ketiga-tiga subjek ini dibangunkan oleh guru pakar tempatan bagi memastikan ia bersesuaian dengan konteks dan keperluan program.

Lebih membanggakan katanya, semua kertas peperiksaan ini akan melalui proses semakan dan pengesahan teliti oleh Cambridge University Press and Assessment (CUP&A), bagi menjamin pematuhan terhadap piawaian antarabangsa.

Untuk mengukuhkan kerjasama ini tambahnya, Swinburne Innovation Malaysia (SWIM) telah menandatangani Kontrak Perkhidmatan bersama CUP&A pada 30 April 2025 di Cambridge, United Kingdom, disaksikan oleh Premier Sarawak.

Untuk makluman, UP-DLP Sarawak merupakan hasil kerjasama antara Kementerian Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak (JPNS), SWIM, serta universiti-universiti milik Kerajaan Negeri seperti i-CATS University College, University of Technology Sarawak (UTS) dan Curtin University Malaysia. -EDISI UKAS