KUCHING: Kerajaan Sarawak mengesyorkan pendidikan percuma kepada pelajar Sarawak yang menuntut di institut pengajian tinggi (IPT) milik Kerajaan Sarawak dalam bidang berkaitan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) turut memfokuskan bidang Undang-Undang, Perubatan, Perakaunan, Kewangan dan Psikologi.
Menteri Pendidikan, Inovasi Dan Pembangunan Bakat Sarawak Dato Sri Roland Sagah Wee Inn berkata, fokus kepada bidang STEM termasuk bidang yang terpilih merupakan permulaan memandangkan ia memenuhi keperluan semasa Kerajaan Sarawak.
“Ini hanyalah permulaan dan kita juga perlu beringat terutamanya untuk membelanjakan bajet yang ada dengan sebaiknya.
“Kena ingat, Kementerian tidak hanya memfokuskan kepada pendidikan sahaja tetapi juga kepada inovasi dan pembangunan bakat, maka kami kena ramalkan kepada bakat yang diperlukan sesuai dengan keperluan kerajaan untuk tahun mendatang,” katanya ketika berucap dalam sesi pergulungan kementeriannya dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19 pada Isnin.
Dalam sesi tersebut, beliau menjawab persoalan yang dikemukakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padungan, Chong Chieng Jen yang menggesa kerajaan untuk memberikan pendidikan percuma kepada semua kursus di dalam IPT milik Kerajaan Sarawak.
Tambahnya, pemberian kursus percuma tidak berhenti hanya kepada bidang STEM pada masa akan datang dan akan diteruskan dengan pelbagai lagi pengenalan inisiatif untuk menggalakkan pelajar Sarawak meneruskan pembelajaran ke menara gading.
Dalam pada itu, ADUN Tarat memberitahu, Kerajaan Sarawak telah meluluskan pelaksanaan Skim Pendidikan Tinggi Percuma Sarawak (FTES) yang akan mula berkuat kuasa pada tahun 2026, eksklusif untuk anak jati Sarawak sahaja.
Jelasnya, Skim FTES akan memberi tumpuan awal kepada program ijazah sarjana muda dalam bidang berkaitan STEM, Undang-Undang, Perubatan, Perakaunan, Kewangan dan Psikologi.
Sebagai tambahan kepada yuran pengajian percuma, skim ini juga menawarkan elaun tahunan sebanyak RM15,000 kepada pelajar daripada isi rumah berpendapatan per kapita RM1,500 ke bawah sebulan, bagi membantu kos sara hidup sepanjang tempoh pengajian.
“Kerajaan juga memberi jaminan bahawa tiada pelajar yang akan dipinggirkan, kerana Yayasan Sarawak turut menyediakan bantuan kewangan dalam bentuk biasiswa atau pinjaman untuk kursus lain yang tidak termasuk dalam senarai FTES,” tegasnya. -EDISI UKAS