KUCHING: Dalam usaha meningkatkan sumber perikanan laut di Sarawak, Jabatan Perikanan Laut Sarawak (JPLS) telah melaksanakan Projek Pembangunan dan Pengurusan Sumber Perikanan melalui pemasangan tukun tiruan sejak tahun 2021.
Menurut Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah, Datuk Dr Abdul Rahman Ismail, sehingga tahun 2024, sebanyak 201,972 unit tukun tiruan telah dilabuhkan melibatkan 77 kawasan tapak tukun di seluruh perairan negeri.
Katanya, tukun tiruan ini bukan sahaja bertindak sebagai pelindung habitat marin, malah berfungsi untuk menghalang aktiviti pukat tunda yang menjejaskan ekosistem laut.
“Sebanyak 17 unit tukun dasar lembut telah berjaya dilabuhkan di perairan Kabong pada 20 Julai 2024, manakala 17 unit tambahan dijadual akan dilabuhkan pada Ogos tahun ini,”katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kabong, Dato Mohd Chee Kadir dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19 pada Rabu.
Projek pembangunan tukun tiruan ini dilaksanakan dalam tempoh lima tahun dari 2021 hingga 2025 dengan jumlah peruntukan sebanyak RM20 juta.
Selain itu, Kerajaan Sarawak turut memperuntukkan RM30 juta bagi tempoh 2023 hingga 2025 untuk memperluas inisiatif tukun tiruan melibatkan kawasan sepanjang 746 kilometer di perairan negeri.-EDISI UKAS