KUCHING: Ketidaktentuan ekonomi global akibat konflik geopolitik, revolusi teknologi, perubahan iklim dan kini perang tarif global sudah tentu memberi kesan kepada pertumbuhan ekonomi Sarawak.
Sehubungan itu, Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar memuji langkah proaktif yang diambil oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg dalam usaha memperkukuhkan daya tahan ekonomi Sarawak.
“Langkah proaktif yang diambil oleh Premier Sarawak amatlah dipuji di mana usaha beliau untuk terus meneroka dan mempelbagaikan peluang ekonomi dalam bidang strategik seperti tenaga hijau, teknologi digital dan inovasi bukan hanya memenuhi keperluan domestik tetapi juga memainkan peranan penting di peringkat nasional dan global,” katanya dalam ucapan perasmian Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Ke-19 pada Isnin.
Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi turut menzahirkan ucapan syabas kerana telah mencapai banyak kejayaan semasa lawatan kerja beliau ke Eropah baru-baru ini hasil kerjasama strategik yang dirangka dengan teliti susulan daripada kunjungan hormat dan perbincangan beliau bersama Duta-Duta dan syarikat-syarikat daripada Eropah.
Ujarnya, antara kejayaan Datuk Patinggi Abang Zohari adalah terjalinnya kerjasama strategik Sarawak dengan United Kingdom dalam bidang pendidikan, penyelidikan, pembuatan, semikonduktor dan tenaga.
“Pencapaian Kerajaan Sarawak melancarkan AI Based Power Converter di United Kingdom baru-baru ini mencerminkan keupayaan anak-anak Sarawak dalam bidang kecerdasan buatan (AI) dan transformasi digital.
“Beliau (Datuk Patinggi Abang Zohari) juga telah berjaya meningkatkan kerjasama strategik bagi meneroka potensi menjadikan Sarawak sebagai hab aeroangkasa baharu di rantau Asia Pasifik hasil lawatan kerja beliau ke ibu pejabat ATR dan Airbus di Toulouse, Perancis,” ujarnya.
Yang di-Pertua Negeri Sarawak yakin usaha ini akan mengurangkan kebergantungan Sarawak terhadap sumber semula jadi, mempelbagaikan aktiviti ekonomi dan meningkatkan nilai tambah serta membuka ruang pertumbuhan ekonomi baharu yang mampan dan inklusif selaras dengan aspirasi Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030.
Hadir sama, Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg; Timbalan-Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan dan Datuk Amar Prof Dr Sim Kui Hian; Speaker DUN Sarawak, Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar; Barisan Menteri Kabinet Sarawak, Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki; Barisan Timbalan Menteri Kabinet Sarawak, Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), ketua-ketua jabatan serta dif kenamaan lain. -EDISI UKAS