KUCHING: Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar menzahirkan penghargaan terhadap pencapaian dan kesungguhan Kerajaan Sarawak dalam melaksanakan pelbagai inisiatif strategik merangkumi tenaga hijau, pembangunan modal insan, infrastruktur serta pelaburan yang memperkukuh daya saing negeri di peringkat serantau dan antarabangsa.
Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi menyifatkan langkah Kerajaan Sarawak memperkukuh agenda tenaga boleh diperbaharui sebagai langkah tepat dalam menghadapi perubahan iklim global serta mengangkat Sarawak sebagai ‘Battery of ASEAN’.
“Saya berbangga dengan kejayaan Sarawak Petchem mengeksport methanol pertama ke China, dan pelancaran Projek Methanol Hijau adalah bukti komitmen Sarawak terhadap bahan api rendah karbon.
“Usaha ‘waste to energy’ juga memperkukuh pengurusan sisa secara mampan sambil menjana pendapatan negeri,” ujar beliau dalam ucapan perasmian sempena Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Ke-19 pada Isnin.
Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi turut menyambut baik langkah Kerajaan Sarawak memperkukuh pembangunan modal insan yang responsif terhadap keperluan industri masa kini, termasuk melalui penubuhan sekolah antarabangsa serta institusi pendidikan teknikal dan vokasional milik negeri.
“Pemberian pendidikan tinggi percuma kepada anak-anak Sarawak dalam bidang terpilih di institusi milik kerajaan negeri bermula tahun depan adalah inisiatif yang memberi impak besar,” katanya sambil menyarankan kolaborasi lebih erat antara institusi pendidikan tinggi dan pihak industri agar pembangunan bakat terus relevan.
Selain itu, beliau turut merakamkan penghargaan terhadap kejayaan Kerajaan Sarawak menyiapkan beberapa jambatan utama yang menyambungkan bandar dan luar bandar seperti Jambatan Marudi, Muara Lassa, Bintulu-Jepak dan Batang Rajang.
“Prasarana lengkap ini penting untuk meningkatkan produktiviti luar bandar dan membuka peluang dalam pertanian, pelancongan serta perusahaan kecil dan sederhana,” ujarnya.
Mengulas mengenai kemajuan ekonomi negeri, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi menyatakan Sarawak kini muncul sebagai wilayah yang progresif dengan kestabilan politik, dasar ekonomi yang jelas dan pengurusan fiskal berhemah.
Beliau turut menyokong langkah strategik Kerajaan Sarawak mengambil alih Lembaga Pelabuhan Bintulu dan MASwings serta menubuhkan AirBorneo sebagai usaha memperkukuh kedudukan negeri sebagai hab logistik serantau.
“Cadangan pembinaan pelabuhan dan lapangan terbang baharu juga amat bertepatan. Saya menyeru sektor swasta turut menyumbang dalam inisiatif berimpak tinggi ini, manakala rakyat perlu bersedia merebut peluang pekerjaan dan perniagaan yang terhasil,” katanya.
Hadir sama, Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg, Timbalan-Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan dan Datuk Amar Prof Dr Sim Kui Hian, Speaker Dewan Undangan Negeri Sarawak Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar, Barisan Menteri Kabinet Sarawak, Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Barisan Timbalan Menteri Kabinet Sarawak, Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), ketua-ketua jabatan serta dif kenamaan lain. -EDISI UKAS