MIRI: Kerajaan Sarawak komited memperluas Program Bantuan Lesen Memandu (BLM) Motosikal Kelas B2 kepada lebih ramai pelajar sekolah menengah di seluruh negeri.
Menteri Pengangkutan Sarawak merangkap ADUN Senadin, Dato Sri Lee Kim Shin berkata program ini membantu pelajar mendapatkan lesen motosikal secara sah dan mampu milik.
Pelajar hanya perlu membayar RM250, selebihnya ditanggung kerajaan negeri.
“Ramai pelajar ke sekolah tanpa lesen sah.
“Inisiatif ini bertujuan tingkatkan keselamatan dan kesedaran undang-undang jalan raya,” katanya semasa Mesyuarat Penyelarasan Program BLM di Pejabat JPJ Miri pada Jumaat.
Beliau turut mencadangkan perluasan program ke seluruh Sarawak dengan kerjasama JPJ, PDRM dan Jabatan Pendidikan Sarawak.
Tambahan pula, program kesedaran lain seperti TABC dan Traffic Game turut digerakkan, termasuk rancangan membina taman lalu lintas di setiap bahagian negeri.
Setakat Mei 2025, 3,708 pelajar telah menyertai program ini, dengan permohonan bagi Miri dibuka dari 22 Mei hingga 3 Jun 2025 melalui sekolah menengah.
Hadir sama, Pengarah JPJ Sarawak, Norizan Jili; Ketua JPJ Miri, Fifi Suhesty Asmuni dan ASP Thian Woon Cheng dari PDRM Miri.-EDISI UKAS