Sarawak Bertuah Miliki Polisi Prihatin Rakyat

Disiarkan pada 14 May 2025
Sumber Berita: UKAS


DEBAK: Sarawak bertuah kerana mempunyai pelbagai dasar dan inisiatif kerajaan yang benar-benar memberi manfaat kepada rakyat.

Ahli Parlimen Betong, Dato Dr. Richard Rapu berkata usaha berterusan kerajaan Sarawak di bawah kepimpinan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg amat jelas menerusi pelaksanaan pelbagai dasar kebajikan untuk semua lapisan masyarakat.

“Sarawak sangat bertuah kerana mempunyai kepimpinan yang sentiasa mendahulukan rakyat.

“Terbaharu, Sumbangan Keperluan Asas Sarawak (SKAS) diperkenalkan bagi memastikan setiap lapisan masyarakat menerima bantuan yang bersesuaian dengan keperluan masing-masing,” jelasnya.

Beliau berkata demikian semasa menyampaikan ucapan dalam Program Sejambak Kasih Bahagian Betong 2025 yang berlangsung di Rumah Panjang Gara Tindin, Belassau, Dit, Debak pada Selasa.

Beliau turut memuji peranan aktif Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dalam menyediakan bantuan menyeluruh untuk pelbagai kumpulan sasar termasuk bayi baru lahir, Orang Kurang Upaya (OKU), ibu tunggal dan warga emas.

Majlis turut menyaksikan penyerahan simbolik kepada beberapa penerima manfaat termasuk pemegang Kenyalang Gold Card, Bantuan Ihsan Kematian, Kad OKU, serta Bantuan Khas Pesakit Buah Pinggang sebagai tanda keprihatinan kerajaan dalam mendekati rakyat.

Program Sejambak Kasih 2025 turut dirasmikan oleh Timbalan Menteri Pembangunan Kesejahteraan Komuniti Sarawak merangkap ADUN Saribas, Datuk Mohammad Razi Sitam yang turut menyampaikan bantuan kepada seramai 2,376 penerima dari Bahagian Betong sebagai persediaan menjelang Hari Gawai.-EDISI UKAS