SARIKEI: Sebanyak 200 projek pembangunan telah dan sedang rancak dilaksanakan di Sarikei setakat 30 April 2025, memberi manfaat kepada empat daerah di bahagian itu iaitu Sarikei, Meradong, Pakan dan Julau.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, projek pembangunan ini meliputi kemudahan infrastruktur seperti bekalan air bersih, elektrik, jambatan, jalan raya dan banyak lagi.
“Sebanyak 200 projek kerajaan dilaksanakan di Bahagian Sarikei yang berjumlah RM4.9 bilion yang meliputi projek-projek jalan, jambatan, bekalan air dan bekalan elektrik.
“Di sini, saya melihat semua pelaksanaannya mengikut jadual dan ini sudah tentu dapat memperkasakan lagi projek-projek yang telah kita rancang di Bahagian Sarikei ini,” katanya dalam sidang media bagi Mesyuarat Jawatankuasa Penyelaras Pembangunan Negeri (SDCCM) Bahagian Sarikei, di sini pada Rabu.
Jelas Premier Sarawak, impak yang besar dari pembangunan ini akan dirasai lebih-lebih lagi oleh golongan petani di kawasan sekitarnya.
“Untuk kawasan di empat daerah iaitu Sarikei, Meradong, Pakan dan Julau, saya dapat melihat potensi yang begitu besar sekali dengan jaringan jalan raya dan infrastruktur air dan elektrik, maka sektor pertanian akan meningkat memandangkan kita akan membangunkan Agropark di kawasan-kawasan ini,” ujar beliau lagi.
Terdahulu dalam ucapannya, beliau memberi jaminan untuk menaik taraf jalan ke Taman Agro berkenaan yang masih menggunakan ‘jalan kebun’ agar golongan petani di kawasan tersebut mempunyai akses yang selesa dan selamat untuk menjalankan aktiviti pertanian.
Menyentuh mengenai Pusat Pentadbiran Kerajaan Sarawak Bahagian Sarikei yang baharu, beliau memberitahu bahawa kos pembinaan bangunan berkenaan adalah sebanyak RM147.25 juta, yang dibina dengan Indeks Bangunan Hijau (GBI) selain dilengkapi dengan jaringan Internet yang laju.
Difahamkan, bangunan tersebut akan menampung seramai 500 penjawat awam daripada 10 agensi dan jabatan Kerajaan Sarawak, termasuklah Pejabat Residen Bahagian Sarikei, Pejabat Daerah Bahagian Sarikei, Jabatan Tanah dan Survei (JTS), Jabatan Kerja Raya (JKR), Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB), Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS), Pusat Service Sarawak, Jabatan Perbendaharaan Sarawak, Pejabat Hutan Sarawak dan Pejabat Kebajikan Masyarakat.
Hadir sama, Timbalan-Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan; Menteri-Menteri Kabinet Sarawak; Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki; Timbalan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam merangkap Ahli Parlimen Sarikei dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Repok, Dato Sri Huang Tiong Sii; Timbalan-Timbalan Menteri Kabinet Sarawak dan Setiausaha Kewangan Sarawak, Dato Sri Dr Wan Lizozman Wan Omar.
Selain itu, turut hadir ialah Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Perancangan Ekonomi dan Pembangunan) Dato Sri Dr Muhammad Abdullah Zaidel; Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Pentadbiran), Datu Buckland Bangik ,Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Operasi), Datu Hii Chang Kee, Residen Bahagian Sarikei, Datu Michael Ronnie Langgong; Ketua-Ketua Jabatan; dan tetamu kehormat yang lain. -EDISI UKAS