MIRI: Perarakan Niti Daun sempena sambutan Gawai Dayak Peringkat Bahagian Miri berlangsung meriah pada Sabtu, menyatukan pelbagai etnik dan budaya dalam satu perayaan yang penuh warna-warni dan simbolik di sekitar kawasan Padang Bulatan hingga ke tapak Gawai Bazaar, Permy Mall.
Sebanyak 20 kontinjen menyertai perarakan memperagakan busana tradisional masing-masing sambil diiringi alunan muzik budaya.
Program turut diserikan dengan upacara Miring dan Ngerandang Jalai sebagai simbolik permulaan perarakan.
Majlis telah dirasmikan oleh Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan I merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Marudi, Datuk Dr. Penguang Manggil, yang menyifatkan program ini sebagai platform penting untuk menyemai perpaduan serta mengangkat khazanah budaya tempatan.
“Ini adalah kali pertama kita menganjurkan Niti Daun yang melibatkan penyertaan pelbagai kaum di Baram. Saya amat bangga melihat komitmen penganjur serta semangat perpaduan dalam kalangan peserta,” ujar beliau dalam ucapannya.
Beliau turut menekankan peranan anak muda dalam memelihara identiti budaya serta menyarankan lebih banyak penganjuran program berunsur pendidikan dan kebudayaan seperti simposium budaya.
Ujarnya, program Niti Daun 2025 bukan sekadar sambutan budaya, tetapi menjadi landasan memperkukuh jati diri masyarakat berbilang kaum serta memacu peluang ekonomi melalui gerai-gerai usahawan tempatan yang menghiasi Gawai Bazaar sepanjang program berlangsung.
Pengisian program diteruskan pada sebelah malam dengan Malam Kebudayaan di Pentas Utama Gawai Bazaar yang menampilkan persembahan etnik Iban, Bidayuh dan Orang Ulu serta penyampaian hadiah kepada kontinjen terbaik perarakan.-EDISI UKAS