PPP Hospital Sibu Dirai Pada Malam Gala Hari Pembantu Perubatan 2025

Disiarkan pada 10 May 2025
Sumber Berita: UKAS


SIBU: Lebih 500 warga kesihatan di wilayah ini menghadiri Malam Gala Hari Pembantu Perubatan 2025 Peringkat Sarawak yang berlangsung di Dewan Utama Hotel Kingwood Sibu pada Jumaat.

Majlis anjuran Assistant Medical Officer Sibu Hospital (AMOSH) dengan kerjasama Persatuan Penolong Perubatan Sarawak (SAMOA) dan Kesatuan Pembantu Perubatan Sarawak (SUMA) ini merupakan kemuncak kepada sambutan Hari Pembantu Perubatan peringkat Hospital Sibu.

Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak, Datuk Micheal Tiang Ming Tee berkata, sambutan tersebut merupakan penghargaan kepada jasa dan pengorbanan para Penolong Pegawai Perubatan (PPP) yang menjadi tonggak penting dalam sistem kesihatan awam.

"Inilah asas yang memperkukuh budaya kerja dan meningkatkan kualiti penjagaan pesakit.

"Dalam profesion kesihatan, walaupun datang dari pelbagai latar belakang, kita semua bersatu dalam matlamat yang sama iaitu untuk merawat, menjaga dan menyembuh,” katanya ketika berucap di majlis tersebut.

Datuk Micheal yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelawan turut menyempurnakan penyampaian Anugerah AMOSH buat julung kalinya kepada PPP Hospital Sibu yang menunjukkan komitmen tinggi, disiplin serta keterlibatan aktif.

Tiga kategori diperkenalkan iaitu PPP Paling Kemas Beruniform, PPP Paling Mesra dan PPP Paling Proaktif dengan pemilihan dilakukan melalui undian dalam talian oleh seluruh warga Hospital Sibu sepanjang Januari hingga April lalu.

Selain itu, PPP dan Pembantu Perawatan Kesihatan yang telah bersara, turut diberikan penghargaan atas jasa bakti mereka dalam dunia kesihatan.-EDISI UKAS