Dato Sri John Sikie Cadang Perkasa Jualan Dalam Talian Untuk Pengusaha Kraftangan

Disiarkan pada 10 May 2025
Sumber Berita: UKAS


LIMBANG: Menteri di Jabatan Premier Sarawak, Dato Sri John Sikie Tayai mencadangkan langkah strategik untuk memperkasa jualan dalam talian, khususnya bagi pengusaha kraftangan sebagai usaha memperluaskan pasaran produk tempatan.

Dalam ucapannya pada majlis perasmian Bazar Gawai Medamit pada Jumaat, beliau menekankan bahawa penggunaan sepenuhnya fasiliti yang ada, termasuk kerjasama dengan Majlis Kraf Sarawak dan Majlis Kraf Malaysia adalah cara terbaik untuk membuka peluang kepada pengusaha tempatan menembusi pasaran yang lebih luas.

Menurut beliau, jualan dalam talian adalah langkah penting untuk membantu pengusaha kraftangan tempatan bukan sahaja di peringkat negeri, tetapi juga di pasaran antarabangsa.

“Dengan sokongan penuh daripada organisasi berkaitan, seperti Sarawak Craft Council, kita mampu membawa produk tempatan ke tahap yang lebih tinggi,” jelas beliau.

Menurutnyalagi, ini adalah masa yang tepat untuk memanfaatkan perkembangan teknologi dan platform dalam talian yang dapat membantu pengusaha kecil dan sederhana di luar bandar memasarkan produk mereka tanpa batasan.

Dato Sri John Sikie turut menggesa agar lebih banyak pengusaha kraftangan tempatan mengambil peluang ini untuk meningkatkan daya saing mereka di pasaran global.

Langkah ini diharapkan dapat membuka lebih banyak ruang ekonomi untuk komuniti luar bandar, sekali gus merangsang pertumbuhan sektor keusahawanan di Sarawak.

Dengan sokongan kerajaan dan kerjasama pelbagai pihak, jualan dalam talian diyakini akan memberikan impak besar terhadap kemajuan industri kraftangan dan ekonomi setempat.

Program Bazar Gawai Medamit yang berjaya menghimpunkan 22 gerai jualan turut menyaksikan masyarakat setempat mengambil bahagian dalam memperkenalkan produk tempatan dan meningkatkan semangat kekitaan dalam komuniti.

Di kesempatan itu juga, beliau turut mengumumkan peruntukan RM25,000 kepada Jawatankuasa Pengelola Bazar Gawai Medamit sebagai tanda sokongan terhadap penganjuran acara ini.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Danau, Dato Paulus Palu Gumbang; wakil Pegawai Daerah Limbang, Danny David; Pengerusi Majlis Daerah Limbang, Sufian Mohat; Pengerusi Pengelola Bazar Gawai Medamit, David Bada Pengarah; Ketua Masyarakat Iban Limbang, Temenggong Willie Marum Liaw; Ketua Masyarakat Bisaya Limbang, Temenggong Nicholas Buyok Pura; dan Pengerusi Persatuan Bisaya Sarawak, Joseph Blandoi. -EDISI UKAS