IEM Miri Lancar Bulan Tenaga 2025 Secara Maya

Disiarkan pada 06 May 2025
Sumber Berita: UKAS


MIRI: Institut Jurutera Malaysia (IEM) Cawangan Miri telah melancarkan Bulan Tenaga 2025 secara dalam talian pada Selasa bertemakan ‘Powering the Future’.

Majlis pelancaran telah disempurnakan oleh Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar, Datuk Dr. Hazland Abang Hipni.

Dalam ucapannya, beliau memuji peranan jurutera dalam memperkukuh infrastruktur tenaga negara serta menekankan kepentingan usaha kolektif dalam menghadapi cabaran tenaga global.

“Energy Month bukan sekadar sambutan—ia adalah satu seruan untuk bertindak.

“Ia menghimpunkan jurutera, pemimpin industri, pelajar dan pembuat dasar untuk meneroka kemajuan, cabaran dan peluang dalam sektor tenaga,” ujar beliau sambil merujuk kepada pelaksanaan National Energy Transition Roadmap (NETR) dan Akta Kecekapan dan Pemuliharaan Tenaga (EECA) yang mula berkuat kuasa pada 1 Januari lalu.

Turut hadir dan berucap dalam majlis tersebut ialah Pengerusi IEM Pusat 2025-2026, Ir. Prof. Dr. Jeffrey Chiang Choong Luin, Pengerusi IEM Miri, Ir. Meheron Selowara Joo dan Pengerusi Penganjur Dr. Yong Leong Kong.

Ir. Prof. Dr. Jeffrey menekankan keperluan jurutera untuk menyesuaikan kepakaran mereka dengan kehendak semasa masyarakat dan kelestarian alam sekitar.

"Inisiatif IEM Miri ini mencerminkan kepimpinan jurutera dalam peralihan tenaga negara,” katanya.

Sementara itu, Ir. Meheron menyeru kepada penglibatan masyarakat yang lebih meluas dalam memupuk kesedaran tenaga serta mengiktiraf peranan ahli dan sukarelawan IEM dalam menjayakan program ini.

Dr. Yong pula menyifatkan penganjuran Bulan Tenaga 2025 sebagai satu platform penting dalam membina jaringan kolaborasi serta perkongsian ilmu antara pelbagai pihak berkepentingan.

Program sepanjang bulan ini akan menampilkan pelbagai aktiviti seperti seminar teknikal berkaitan tenaga lautan, hidrogen, suria, biomas dan pengurusan tenaga, selain lawatan industri yang memberi pendedahan praktikal kepada peserta.

Bulan Tenaga 2025 dijangka menarik penyertaan jurutera profesional, pelajar, wakil industri dan masyarakat umum, sejajar dengan usaha negara memperkasa peralihan tenaga ke arah masa depan yang lebih hijau dan mampan.-EDISI UKAS