Tempoh Lesen Tiga Tahun Kurangkan Birokrasi, Pemegang Lesen Tenaga Atom Diingatkan Kekal Patuh

Posted on 05 May 2025
Source of News: UKAS


BINTULU: Sistem pembaharuan lesen tenaga atom di Malaysia kini memasuki era baharu apabila Jabatan Tenaga Atom mengumumkan bahawa semua lesen berkaitan tenaga atom akan diperbaharui secara automatik untuk tempoh tiga tahun, berbanding sebelumnya yang dinilai secara tahunan.

Ketua Pengarah Jabatan Tenaga Atom,Hajah Noraishah binti Pungut berkata, langkah ini bertujuan mengurangkan birokrasi serta mempercepatkan proses kelulusan tanpa menjejaskan aspek keselamatan dan pematuhan undang-undang sedia ada.

“Walaupun tempoh pembaharuan dilanjutkan, pemantauan secara berterusan tetap akan dijalankan bagi memastikan semua pemegang lesen mematuhi standard keselamatan yang ditetapkan,” katanya ketika merasmikan Program Atom Malaysia X Industry Engagement Day 2025 (Edisi Borneo) di Hotel Green, Bintulu, hari ini.

Tambahnya, inisiatif ini juga membuka ruang untuk jabatan memberi lebih tumpuan kepada aktiviti penguatkuasaan, pemindahan ilmu serta peningkatan mutu penyampaian perkhidmatan kepada industri.

Program yang menghimpunkan lebih 200 pemain industri dan pemegang lesen dari seluruh Sarawak ini menjadi platform strategik untuk dialog terbuka, penilaian amalan semasa serta cadangan penambahbaikan dalam pengurusan tenaga atom di negeri ini.

Dalam sesi tersebut, beberapa isu turut dibangkitkan termasuk kepentingan pematuhan terhadap sisa sampingan industri seperti bahan nadir bumi (rare earth) yang tidak radioaktif tetapi boleh menjadi bahan terkawal jika melebihi paras tertentu.

Pengarah Pejabat Zon Sabah dan Sarawak (PZSS), Ts. Nurul Sareeza turut menegaskan bahawa kerjasama dua hala antara jabatan dan industri amat penting dalam memastikan pematuhan undang-undang, terutamanya berkaitan keselamatan pekerja sinaran dan perlindungan alam sekitar.

Setakat ini, PZSS memantau lebih 287 premis di bawah Akta 304 di zon Sabah dan Sarawak.

Program ini juga menggalakkan perkongsian pengalaman dan amalan terbaik antara syarikat, sekali gus dapat meningkatkan kadar pematuhan industri dan keyakinan pelabur terhadap keselamatan sistem tenaga negara.-EDISI UKAS