SARIKEI: Pembangunan Jambatan Batang Rajang bakal menjadi pemangkin utama dalam merancakkan hubungan perhubungan dan ekonomi antara Sarikei, Bintangor, Tanjung Manis, Belawai dan Pulau Bruit, kata Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Sarawak, Datuk Len Talif Salleh.
Berucap dalam Majlis Santai Belia dan Pemuda anjuran Pemuda Kuala Rajang di sebuah hotel di Sarikei pada malam Ahad, Datuk Len menegaskan bahawa pembinaan jambatan strategik itu merupakan bukti kesungguhan kerajaan negeri membangunkan kawasan luar bandar secara terancang dan berpandangan jauh.
“Tidak lama lagi kita akan membuka Jambatan Batang Rajang, Jalan Pasi Sarikei ke Tanjung Manis. Ini akan memudahkan perhubungan dari Sarikei, Jerijih, Belawai dan kawasan sekitarnya,” katanya.
Beliau mendedahkan bahawa perancangan untuk membangunkan rangkaian jalan dan jambatan tersebut telah dirangka lebih 30 tahun lalu, namun faktor kekangan kewangan menyebabkan ia hanya dapat direalisasikan sekarang.
“Pembangunan infrastruktur memerlukan perancangan jangka panjang dan kos yang besar. Tanpa wawasan dan perancangan rapi, semua ini tidak akan menjadi kenyataan,” jelasnya.
Dengan terbinanya jambatan ini, Datuk Len yakin aktiviti ekonomi setempat akan berkembang pesat, khususnya dalam mempercepatkan pemasaran produk tempatan.
“Yang tinggal hanyalah kemahuan dan tekad para usahawan untuk memasarkan produk masing-masing,” tambah beliau.
Dalam pada itu, beliau turut mengumumkan bahawa projek Jalan Sarikei ke Kampung Bukit Kinyau sepanjang 12 kilometer dengan peruntukan lebih RM80 juta telah diluluskan di bawah Agensi Pembangunan Delta Rajang (RADDA).
Projek ini akan disambung ke Sentebu berhampiran Sekolah Kebangsaan St Andrew, Sare.
Mengakhiri ucapannya, Datuk Len menyeru para belia dan pemuda agar terus mendukung dan menyebarkan dasar-dasar pembangunan kerajaan.
“Belia adalah pewaris kepimpinan negeri dan penyambung legasi pembangunan yang sedang dilaksanakan,” katanya.
Majlis santai tersebut turut disertai lebih 100 peserta termasuk ketua-ketua masyarakat, belia dan pemuda dari kawasan sekitar Kuala Rajang.-EDISI UKAS