BINTANGOR: Sebagai institusi yang bakal melahirkan pendidik negara, Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Rajang memainkan peranan penting dalam mencorak masa depan pendidikan, khususnya di kawasan luar bandar dan pedalaman Sarawak.
Demikian menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meradong, Datuk Ding Kuong Hiing sambil menghargai segala usaha dan dedikasi yang dicurahkan oleh barisan pensyarah serta guru pelatih yang bakal berbakti kepada anak bangsa di seluruh pelosok negeri.
Katanya, dengan dunia pendidikan hari ini sedang bergerak pantas seiring dengan kemajuan teknologi, semua siswa pendidik harus sentiasa bersedia dengan perubahan dan cabaran yang mendatang.
“Gunakanlah peluang menuntut ilmu di sini untuk memperkasa diri dari segi ilmu, sahsiah dan keterampilan demi menjadi guru yang bukan sahaja mengajar, tetapi juga mendidik dan menjadi inspirasi kepada anak didik.”
Beliau berkata demikian semasa menghadiri Majlis Ramah Tamah Aidilfitri Tahun 2025 anjuran IPG Kampus Rajang Bintangor pada Ahad.
Tegasnya, sebagai wakil rakyat di kawasan ini, beliau akan terus menyokong segala usaha pembangunan pendidikan dan meneliti segala cadangan, keperluan atau pandangan daripada pihak IPG Kampus Rajang demi kepentingan bersama.
Mengenai majlis itu, beliau berkata ia bukan sahaja menjadi platform untuk mengeratkan silaturahim antara warga kampus, malah mencerminkan keindahan perpaduan dan semangat kekitaan dalam kalangan masyarakat majmuk di Malaysia.
Katanya, sambutan seperti ini mampu membentuk jati diri warga pendidik atau warga kampus yang bukan sahaja cemerlang dari segi akademik, malah kaya dengan nilai murni, budaya hormat-menghormati serta semangat toleransi. - EDISI UKAS