SPM 2024: 821 Calon Sarawak Raih Semua A

Disiarkan pada 24 Apr 2025
Sumber Berita: UKAS


KUCHING: Seramai 821 calon daripada 32,239 pelajar sekolah di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) di Sarawak berjaya meraih keputusan cemerlang dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun 2024.

Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Dato Sri Roland Sagah Wee Inn berkata ini merupakan peningkatan sebanyak 0.32 peratus berbanding SPM Tahun 2023.

"Daripada 32,239 calon sekolah bawah KPM yang menduduki peperiksaan SPM, seramai 821 calon iaitu 2.55 peratus memperolehi keputusan cemerlang iaitu grade A+, A dan A- dalam semua mata pelajaran berbanding 726 calon pada tahun 2023

"Ini adalah satu peningkatan yang baik," katanya dalam satu sidang media khas pengumuman Keputusan Peperiksaan SPM Tahun 2024 Peringkat Negeri Sarawak pada Khamis.

Tambahnya, Gred Purata Negeri (GPN) bagi Sarawak juga mencatat peningkatan dengan skor 4.84, berbanding 4.92 pada tahun sebelumnya menjadikan keputusan SPM 2024 sebagai yang terbaik sejak syarat wajib lulus bagi subjek Bahasa Melayu dan Sejarah diperkenalkan pada 2013.

Dalam pada itu, Dato Sri Roland turut menyoroti kejayaan luar biasa Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Long Bedian, Baram yang buat pertama kali berjaya mencatatkan keputusan 100 peratus kelayakan sijil.

Lebih membanggakan lagi apabila salah seorang calonnya turut memperoleh keputusan semua A, ujarnya.

"Ingin saya zahirkan rasa syukur kerana SMK Long Bedian, Baram yang baru kali pertama menjadi pusat SPM pada tahun 2024 telah berjaya mencapai kelayakan 100 peratus layak sijil.

"Malah, seorang calon sekolah ini telah berjaya memperoleh keputusan semua A dalam mata pelajaran yang diambil.

"Syabas diucapkan dan semoga momentum kecemerlangan ini dapat diteruskan pada tahun mendatang," ujarnya.

Dato Sri Roland turut menzahirkan rasa bangga apabila 86 orang daripada 127 orang calon berkeperluan pendidikan khas sebanyak 67.72 peratus layak memperoleh sijil SPM tahun 2024, iaitu peningkatan sebanyak 1.87 peratus berbanding SPM 2023.

Selain itu ujarnya, SPM tahun 2024 ini juga mencatatkan kejayaan dalam bilangan sekolah yang memperoleh pencapaian 100 peratus layak sijil SPM dengan 28 buah sekolah telah memperoleh pencapaian 100 peratus layak sijil SPM, dengan peningkatan berbanding 19 buah sekolah pada SPM 2023.

Untuk makluman, calon berdaftar SPM 2024 di Sarawak adalah seramai 35,423 pelajar dengan 33,039 pelajar adalah calon sekolah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), mencatatkan kehadiran 32,239 pelajar dengan 800 pelajar tidak hadir atau menduduki peperiksaan.

Hadir sama, Timbalan-Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Datuk Dr Annuar Rapaee dan Datuk Dr Francis Harden Hollis dan Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak Omar Mahli. -EDISI UKAS