Program CoopUmrah Angkasa Sarawak Dilancar, Mudahkan Anggota Koperasi Tunai Umrah

Disiarkan pada 21 Apr 2025
Sumber Berita: UKAS


MIRI: Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA) Negeri Sarawak melakar satu lagi sejarah penting dalam memperkasa ekonomi koperasi apabila melancarkan Program CoopUmrah ANGKASA Sarawak, satu inisiatif strategik yang membuka peluang kepada lebih ramai anggota koperasi menunaikan ibadah umrah dengan lebih mudah, telus dan berpatutan.

Majlis pelancaran yang disempurnakan oleh Timbalan Datuk Bandar Miri, Ariffin Mohamad ini turut diadakan sempena Majlis Ramah Tamah Aidilfitri ANGKASA Negeri Sarawak, dihadiri oleh ratusan tetamu termasuk wakil-wakil koperator dari Miri, Limbang dan Lawas serta agensi-agensi kerajaan yang berkaitan.

Program CoopUmrah ini merupakan usaha berimpak tinggi yang membuktikan keupayaan gerakan koperasi sebagai pemacu ekonomi ummah dengan menawarkan pakej umrah berkualiti yang disokong kemudahan pembiayaan.

Antara koperasi yang berganding bahu menjayakan inisiatif ini ialah Koperasi Koperkasa Sarawak Berhad (KOPERKASA) dan Koperasi Guru Bumiputera Sarawak Berhad (KOBAGUS) yang menyediakan pembiayaan kepada anggota koperasi.

Menurut Pengerusi ANGKASA Sarawak, Wan Azizan Wan Zainal Abidin dalam satu kenyataan media pada Isnin, pelaksanaan program ini bakal menyemarakkan semangat berkoperasi dalam kalangan masyarakat sambil menyahut seruan fardu kifayah untuk membantu umat Islam menunaikan ibadah umrah secara terancang.

Bagi memastikan urusan perjalanan jemaah berjalan lancar, Demak Travel Sdn Bhd telah dilantik sebagai pengendali rasmi logistik dan perkhidmatan jemaah CoopUmrah – dari Sarawak hingga ke Tanah Suci.

ANGKASA akan terus bertindak sebagai penyelaras utama pemasaran dan pelaksanaan program ini di seluruh Sarawak, dan dalam masa yang sama mengalu-alukan penglibatan koperasi-koperasi ahli lain untuk bersama-sama menjayakannya.

Pelancaran ini juga memperlihatkan potensi sektor pelancongan koperasi sebagai satu cabang baharu pembangunan ekonomi anggota, di samping memperkukuh jaringan sosial dan nilai spiritual komuniti koperasi di negeri ini. - EDISI UKAS