Tuntutan Satu Pertiga Kerusi Parlimen: Pemberian Kepada Sarawak & Sabah Jaminan Perlembagaan, Rundingan Hanya Formaliti

Disiarkan pada 19 Apr 2025
Sumber Berita: UKAS


KUCHING: Tuntutan satu pertiga kerusi Parlimen kepada Sarawak dan Sabah itu sudah pun merupakan satu jaminan perlembagaan yang diperuntukkan melalui Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC) 1962.

Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak merangkap Naib Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Dato Ibrahim Baki berkata, rundingan tuntutan oleh kedua-dua wilayah untuk mengembalikan satu pertiga kerusi Parlimen kepada Sarawak dan Sabah hanyalah soal formaliti.

“Sebelum pembentukan Malaysia, Tunku Abdul Rahman telah berjanji bahawa Sarawak dan Sabah akan diberikan satu pertiga wakil dalam Parlimen, dan ini telah dilaksanakan. Ini adalah satu jaminan dalam perlembagaan di mana undang-undang tidak boleh diluluskan tanpa suara kami.

“Apabila Singapura keluar dari persekutuan, jaminan itu mesti dikekalkan. Oleh itu, tiada isu untuk dirundingkan (sama ada kita boleh dapatkan kerusi itu); tiada apa yang perlu dirundingkan kerana ini adalah jaminan perlembagaan yang wajib.

“Ia mesti diberikan kepada kami (Sarawak dan Sabah) dan kita mesti menuntut hak kita. Rundingan hanyalah soal formaliti atau proses kerana apa yang telah termaktub (dalam MA63 dan IGC) mesti dilaksanakan,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap dalam majlis Sambutan Aidilfitri Zon 3 PBB Satok di sebuah hotel di sini pada Jumaat.

Beliau berkata pemulihan hak Sarawak merupakan asas utama perjuangan PBB di mana beliau berjanji akan terus perjuangkan dengan kedudukannya yang baru dalam parti.

Sementara itu, Dato Ibrahim Bakiyang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Satok berkata kawasan itu akan menyaksikan pelbagai projek besar dan kecil yang bakal dilaksanakan.

Jelasnya, kawasan tebingan sungai dari Bintangor akan disambung sehingga ke Kampung Kudei Lama.

Tambahnya, satu projek pembinaan tembok penahan Kampung Kudei Baru telah diluluskan bagi menangani peningkatan pencerobohan buaya di kawasan itu.

“Mereka minta peruntukan kerana ‘semandin’ sering kelihatan berlegar di bawah rumah mereka,” katanya, merujuk kepada buaya.

“Populasi ‘Bujang Senang’ semakin meningkat di Kudei Baru. Saya telah meluluskan RM1 juta untuk pembinaan tembok penahan,” tambahnya.

Dato Haji Ibrahim berkata sebuah surau baharu juga dalam perancangan untuk Kudei Baru Ulu yang melibatkan peruntukan sebanyak RM1.7 juta.

Turut hadir dalam program tersebut ialah isterinya, Datin Noor Akmar Hamdan; Datuk Bandar Dewan Bandaraya Kuching Utara, Datuk Hilmy Othman; Setiausaha Politik kepada Premier, Abdul Samat Gany; Setiausaha Politik kepada Timbalan Perdana Menteri, Irwan Zulkarnain Hasbie dan Pengerusi Penganjur Sarbini Abang yang juga Setiausaha PBB Satok. -EDISI UKAS