MIRI: Sarawak bakal menyaksikan lonjakan besar dalam pembangunan bandar pintar serta pertumbuhan ekonomi digital menerusi pelaksanaan Projek Kenyalang Smart City (KSC) di Miri yang dijangka menjadi pemangkin utama kepada transformasi landskap bandar dan sosioekonomi negeri ini.
Projek berprofil tinggi itu dimeterai pada Rabu melalui majlis menandatangani perjanjian pelaburan antara Imasa Dinasti Sdn Bhd, China Energy Engineering Group Guangxi Electric Power Design Institute Co. Ltd. (CEEC-GXED) dan beberapa syarikat utama dari Shandong, China.
Majlis berlangsung di Dewan Bandaraya Miri dan disaksikan oleh Datuk Bandar Bandaraya Miri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pujut Adam Yii Siew Sang.
Menurut penganjur, KSC akan membawa pendekatan baharu dalam pembangunan bandar yang berteraskan teknologi pintar seperti Kecerdasan Buatan (AI), Internet Kebendaan (IoT), dan sambungan 5G seiring dengan prinsip kelestarian dan matlamat karbon rendah.
“Projek ini bukan sahaja akan memacu pertumbuhan ekonomi digital dan teknologi hijau di Sarawak, malah bakal membuka ribuan peluang pekerjaan bernilai tinggi kepada tenaga kerja tempatan,” kata wakil penganjur.
Pembangunan Kenyalang Smart City juga melibatkan pelaburan dalam kemudahan bertaraf antarabangsa termasuk pusat konvensyen, pusat seni persembahan dan muzium warisan budaya menjadikannya mercu tanda baharu bagi Miri serta tarikan pelabur dan pelancong dari dalam dan luar negara.
Delegasi tinggi dari China yang hadir termasuk Pengerusi syarikat-syarikat gergasi seperti Shandong Yutong Road and Bridge Group, Shandong Tianhua Industrial Group, Ublok New Materials Co serta Beijing Shenghui Construction Engineering Co.
Selesai majlis menandatangani, delegasi dibawa melawat tapak projek KSC bagi meninjau potensi dan kesiapsiagaan kawasan pembangunan menjelang fasa pelaksanaan akan datang.
Projek ini merupakan sebahagian daripada Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030) dan dijangka memperkukuh kedudukan Sarawak sebagai peneraju pembangunan bandar pintar serta ekonomi digital di rantau ini.-EDISI UKAS