UNIMAS Tampil Usaha Pelihara Seni Kraftangan Tradisional

Disiarkan pada 16 Apr 2025
Sumber Berita: UKAS


TATAU: Inisiatif Komuniti@UniMADANI Kementerian Kewangan Malaysia memastikan seni kraftangan tradisional terus dipelihara agar tidak hilang ditelan zaman.

Program anjuran Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) ini bertujuan memelihara warisan budaya anyaman buluh Engkalat serta memperkasa komuniti melalui latihan dan inovasi produk kraftangan.

Sehubungan itu, Menteri di Jabatan Premier Sarawak, Dato Sri John Sikie Tayai memuji usaha UNIMAS yang disifatkan sebagai tepat pada masanya dalam memperkukuh seni warisan dan memberi peluang ekonomi baharu kepada komuniti, khususnya wanita di rumah panjang.

Beliau turut mencadangkan agar program seperti ini diperluaskan ke seluruh kawasan Kakus dengan sokongan dana daripada Kementerian Kewangan.

Tambah beliau, penglibatan pelbagai kaum seperti Melayu, Melanau, Iban, Cina dan Orang Ulu yang kaya dengan hasil kraftangan harus digalakkan.

“Saya menyeru para penggiat kraftangan untuk berdaftar dengan Sarawak Craft Council dan Malaysia Craft Council supaya lebih mudah menerima bantuan dan memasarkan produk mereka,” katanya.

Jelas beliau ketika merasmikan Majlis Penutupan Program Pemberdayaan Komuniti Universiti @UniMADANI Fasa 2: Kraf Bagiau - Kelestarian Kraf Buluh Engkalat di Rumah Banyang, Rantau Aur, Tekalit pada Selasa.

Menurut Dato Sri John Sikie lagi, kraftangan boleh menjadi sumber pendapatan utama bagi suri rumah dan warga komuniti, sekaligus menyumbang kepada aspirasi kerajaan untuk meningkatkan pendapatan isi rumah kepada RM15,000 menjelang 2030.

Sebagai tanda sokongan, beliau turut mengumumkan peruntukan geran Projek Kecil Luar Bandar (MRP) sebanyak RM20,000 kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Rumah Banyang.

UNIMAS dalam majlis tersebut turut menyumbangkan sebuah mesin pemelah dan pengeraut buluh (Bamboo Splitting and Slicing Machine) kepada komuniti di Tekalit bagi menyokong proses penghasilan kraf buluh yang lebih efisien.

Program ini turut menampilkan hasil kraftangan masyarakat Tekalit yang merangkumi pelbagai produk seperti manik, kain burie, tikar, raga, sumpit, baju gagung dan lain-lain yang memaparkan kekayaan budaya Dayak.-EDISI UKAS