Kejohanan Bola Baling MSSB 2025 Himpun Bakat Muda Bahagian Betong

Disiarkan pada 15 Apr 2025
Sumber Berita: UKAS


BETONG: Kejohanan Bola Baling Majlis Sukan Sekolah Bahagian (MSSB) Betong 2025 yang berlangsung baru-baru ini berjaya menghimpunkan bakat-bakat muda dari seluruh bahagian Betong dalam suasana penuh semangat kesukanan, perpaduan dan integriti.

Ahli Parlimen Betong, Dato Dr. Richard Rapu berkata, sukan seperti bola baling bukan sekadar aktiviti fizikal semata-mata, malah menjadi medium penting dalam membentuk jati diri, memupuk semangat perpaduan serta membina budaya kecemerlangan dalam kalangan pelajar.

Menurut beliau, penganjuran kejohanan seumpama ini wajar diperluaskan kerana bukan sahaja mencungkil bakat baharu, malah turut mengeratkan hubungan antara sekolah, pelajar dan komuniti setempat.

“Sukan menjadi medan melatih disiplin, semangat berpasukan dan nilai murni. Kemenangan tanpa integriti tidak membawa makna. Jika kalah, terimalah dengan hati terbuka dan hormatilah pasukan lawan,” katanya semasa menyempurnakan majlis penutupan kejohanan berkenaan.

Dalam ucapan sama, Dato Dr. Richard turut mengumumkan sumbangan sebanyak RM5,000 bagi menyokong pasukan MSSB Betong yang akan mewakili bahagian dalam Kejohanan Majlis Sukan Sekolah Negeri (MSSN) Sarawak akan datang.

Penganjuran kali ini dikendalikan secara bersama oleh Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) St. Augustine bagi peringkat menengah dan Sekolah Kebangsaan (SK) Nanga Ajau bagi kategori sekolah rendah.

Secara keseluruhan, sebanyak sembilan pasukan sekolah menengah dan lapan pasukan sekolah rendah (mengikut zon) telah mengambil bahagian dalam kejohanan tersebut.

Turut hadir ialah wakil Pegawai Pendidikan Daerah Betong, Empari Tom; Penolong Kanan Kokurikulum SMK St. Augustine, Dara Saing; Guru Besar SK Nanga Ajau, James Ali; serta Pengerusi Zon Betong (Sekolah Rendah), Mohamad Nizam Semail Abdullah. -EDISI UKAS