MALUDAM: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lingga Dayang Noorazah Awang Sohor meneruskan Program Jelajah Raya 2025 dengan mengunjungi Kampung Triso, di sini, sebagai lokasi ketiga dalam siri lawatannya untuk meraikan Hari Raya Aidilfitri bersama warga Dewan Undangan Negeri (DUN) Lingga.
Program Jelajah Raya pada Isnin itu disambut meriah oleh penduduk Kampung Triso dengan gotong-royong antara kaum wanita yang menyediakan pelbagai juadah istimewa untuk meraikan tetamu.
Selain itu, program ini turut diserikan dengan pelbagai pertandingan seperti tarik tali, futsal, dan sepak takraw yang melibatkan penyertaan aktif daripada penduduk kampung.
Berucap ringkas dalam majlis berkenaan, Dayang Noorazah menekankan beberapa perkara penting berkaitan pembangunan di Kampung Triso termasuklah penyambungan meter elektrik akan dilaksanakan secara berfasa sekiranya Projek Pemohon Tambahan atau Lewat (ALAF) belum selesai.
Dalam pada itu, beliau turut mengumumkan bahawa Dewan Triso akan dinaik taraf dengan peruntukan Projek Transformasi Perkampungan (RTP) 2025, bersama dengan beberapa projek lain yang turut dilaksanakan secara berfasa.
Majlis tersebut turut dihadiri oleh Penolong Pegawai Tadbir Daerah Kecil Maludam Noraini Aden serta Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) dari kawasan sekitarnya. -EDISI UKAS