TEBEDU: Kelab TOGAP Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tebakang beriltizam meneruskan matlamatnya penubuhannya untuk melahirkan pemain golf profesional dari kalangan masyarakat berbangsa Bidayuh.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tebedu, Dr Simon Sinang Bada berkata, matlamat utama penubuhan kelab berkenaan adalah untuk mendedahkan sukan golf kepada masyarakat Bidayuh, seterusnya melahirkan pemain golf profesional setidaknya mewakili Sarawak dalam Sukan Malaysia (SUKMA) yang akan datang.
Jelasnya, sejak ditubuhkan pada tahun 2021, Kelab TOGAP SMK Tebakang telah aktif dalam pelbagai pertandingan golf, antaranya Saixon Malaysia Junior 2022 Development Tour, 2nd KGS Junior Open Championship 2023 dan pertandingan di Kelab Golf Miri pada tahun 2024.
Sehubungan itu, beliau berharap agar semua ahli kelab terus berlatih dengan gigih bagi membolehkan mereka bersaing dengan kelab golf lain di Sarawak.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Ramah Mesra Ahli TOGAP SMK Tebakang, di sini, pada Isnin.
Kelab TOGAP SMK Tebakang kini mempunyai seramai 33 orang pelajar yang berdaftar sebagai ahli dan kelab ini juga diiktiraf sebagai kelab golf pertama di kalangan sekolah-sekolah menengah di Daerah Serian dan Daerah Tebedu.
Sebagai tanda sokongan yang berterusan, Dr Simon turut meluluskan peruntukan Projek Kecil Luar Bandar (MRP) sebanyak RM10,000 untuk memudahkan mereka mengurus aktiviti kelab dan membiayai latihan yang akan dijalankan di Samarahan Golf Club.
“Dengan bantuan ini, kelab diharapkan dapat terus berkembang dan mencipta pemain golf berbakat dari SMK Tebakang,” ujar beliau. -EDISI UKAS