Persidangan Antarabangsa Antara Tumpuan Sarawak Sebagai Sumber Ekonomi Baharu

Disiarkan pada 08 Apr 2025
Sumber Berita: UKAS


KUCHING: Penganjuran persidangan antarabangsa merupakan antara tumpuan utama Sarawak sebagai sumber ekonomi baharu selain industri lain seperti hidrogen dan tenaga hijau.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, infrastruktur yang sedia ada iaitu Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) akan diperluaskan untuk menampung ketibaan delegasi dari luar negara.

Menurut beliau, Kerajaan Sarawak telah meluluskan dana lebih RM300 juta untuk projek tersebut, yang mana akan bermula pada tahun ini dan dijangka siap sebelum tahun 2028.

“Saya melihat banyak penganjuran mesyuarat dan persidangan diadakan di BCCK, maka kita akan memperluaskan BCCK ini dengan bangunan tambahan di sebelahnya yang akan bermula pada tahun ini.

“Bangunan tambahan ini mampu menampung sehingga 10,000 orang dan sekiranya digabungkan dengan BCCK yang sekarang sebanyak 5,000, kita akan dapat menerima 15,000 pengunjung dalam satu masa.

“Ini merujuk kepada ekonomi baharu kita yang bukan hanya memberi fokus kepada pembangunan kilang dan tenaga hijau seperti hidrogen tetapi turut mengambil kira pembangunan infrastruktur yang ada,” katanya semasa berucap dalam Majlis Ramah Tamah Aidilfitri Televisyen Sarawak (TVS) 2025, pada Selasa.

Mengulas lanjut, Datuk Patinggi Abang Zohari menegaskan bahawa pembangunan ini amat penting dalam usaha Sarawak untuk menjadi pusat persidangan dunia pada masa hadapan.

“Inilah yang perlu dipertingkatkan untuk kita memberi jalan supaya Kuching menjadi pusat persidangan yang dilengkapi dengan infrastruktur sokongan termasuk penyiaran,” jelas beliau lagi.

Jelas beliau lagi, bangunan baharu ini nanti akan meningkatkan kapasiti sedia ada dan menyediakan ruang tambahan termasuk ruangan pameran untuk acara yang lebih besar serta berdaya saing dengan pusat konvensyen lain di rantau ini.

Turut hadir, Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Profesor Dr Sim Kui Hian, Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Dato Sri Julaihi Narawi, Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Dato Sri Fatimah Abdullah, Menteri Pengangkutan Sarawak, Dato Sri Lee Kim Shin, Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Timbalan Menteri Di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS) Datuk Abdullah Saidol, Timbalan Menteri Utiliti (Sarawak Energy Berhad dan PETROS) Dato Ibrahim Baki, Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Perancangan Ekonomi dan Pembangunan) Dato Sri Dr Muhammad Abdullah Zaidel dan Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif TVS Mohamad Sardon Zainal. -EDISI UKAS