ADUN Balingian Teruskan Kemeriahan Syawal

Disiarkan pada 06 Apr 2025
Sumber Berita: UKAS


MUKAH: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Balingian, Abdul Yakub Arbi hadir menyempurnakan Majlis Ramah Mesra Aidilfitri bagi ADUN Balingian yang diadakan di Dewan Sebaguna Kampung Tutus Ulu pada Sabtu.

Majlis yang diraikan dengan penuh meriah itu turut dihadiri ADUN Tellian, Royston Valentine.

Dalam ucapannya, beliau mengajak masyarakat di Balingian untuk saling menziarahi bagi mengeratkan perpaduan dan silaturahim sesama keluarga dan sahabat handai.

"Di kesempatan penuh barakah ini, saya ingin mengucapkan Selamat Hari Raya Maaf, Zahir dan Batin kepada semua. Semoga segala amal ibadah yang kita laksanakan sepanjang Ramadhan diterima oleh Allah SWT dan menjadi bekalan untuk kehidupan yang lebih baik.

"Marilah kita bersama-sama menjadikan Aidilfitri ini sebagai peluang untuk mengeratkan hubungan, menyemai kasih sayang, dan menyebarkan kegembiraan kepada semua, khususnya kepada mereka yang memerlukan.

“Jangan kita lupakan saudara-saudara kita yang kurang bernasib baik agar mereka juga dapat merasakan nikmat Hari Raya ini.”

Majlis diteruskan dengan pengumuman keputusan rasmi Pertandingan Bertuntung Pelita Raya Kampung Tutus Ulu bagi tahun 2025 di mana johan dimenangi oleh Nur Bayrisya Hanapi daripada 16 penyertaan.

Abdul Yakub turut berkongsi rezeki dengan menghulurkan 'duit raya' kepada kanak-kanak yang hadir pada majlis tersebut.

Majlis diserikan juga dengan persembahan nyanyian oleh Alan Busker dan juga cabutan tiket bertuah.

Sebanyak 6 reruai telah disediakan untuk orang ramai menjamu pelbagai juadah raya sempena Majlis Ramah Mesra Aidilfitri tersebut.

Hadir sama Residen Bahagian Mukah Datu Kueh Lei Poh, Pegawai Daerah Mukah Peleadzman Ahip dan juga Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) kawasan Mukah. - EDISI UKAS