KR Sarawak Bantu MBKS Siasat Punca Runtuhan Struktur Bangunan Di Jalan Padungan

Disiarkan pada 06 Apr 2025
Sumber Berita: UKAS


KUCHING: Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak akan memberikan khidmat forensik kepada Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) untuk menyiasat punca runtuhan struktur sebuah bangunan di Jalan Padungan, Kuching, awal pagi tadi.

Menerusi satu kenyataan media pada Ahad, JKR Sarawak akan membantu mengenal pasti punca kejadian ini dengan menghantar sebuah pasukan teknikal khas yang terdiri daripada jurutera forensik, pakar struktur dan pegawai penyiasat teknikal JKR Sarawak telah digerakkan ke lokasi untuk menjalankan penilaian menyeluruh terhadap struktur bangunan yang terlibat.

Siasatan yang dijalankan melibatkan analisis tapak, penilaian kejuruteraan struktur, dan pengumpulan bukti fizikal untuk membantu menentukan punca sebenar kegagalan struktur tersebut.

JKR Sarawak memberi penekanan kepada keselamatan awam dan segala penemuan akan disalurkan kepada MBKS untuk tindakan lanjut, termasuk cadangan pemulihan jika diperlukan.

Pengarah Kerja Raya Sarawak, Adj. Prof. Ir. Ts. Gs. Br. PMr. Dr. Cassidy Morris, dalam kenyataannya berkata, JKR Sarawak akan terus memainkan peranan aktif dalam memperkukuh aspek keselamatan struktur dan daya tahan infrastruktur awam di seluruh negeri.

“Saya ingin memberi jaminan bahawa siasatan ini akan dijalankan dengan penuh profesionalisme, telus, dan berlandaskan fakta teknikal yang sahih,” ujar beliau.

Selain itu, JKR Sarawak turut menawarkan bantuan teknikal serta khidmat nasihat profesional kepada agensi kerajaan, pihak berkuasa tempatan, dan badan berkepentingan yang memerlukan kepakaran dalam bidang kejuruteraan, penyelenggaraan infrastruktur, dan siasatan teknikal. -EDISI UKAS