KUCHING: Tambang bas bagi laluan Kuching-Serian mengalami perubahan susulan penyertaan perkhidmatan tersebut dalam Program Transformasi Perkhidmatan Bas Berperingkat (SBST), yang dikendalikan oleh Biaramas Express Sdn Bhd di bawah jenama BAS.MY.
Perubahan ini berkuat kuasa April 2025, sekaligus menamatkan subsidi tambang RM1.
Kementerian Pengangkutan Sarawak dalam satu kenyataan pada Khamis menjelaskan bahawa langkah ini adalah sebahagian daripada pelaksanaan SBST, yang dibiayai oleh kerajaan persekutuan selama lima tahun untuk menambah baik sistem bas henti-henti di Kuching.
Selain laluan Kuching-Serian, sembilan lagi laluan lain akan turut beralih ke SBST secara berperingkat menjelang Mei 2025.
Laluan tersebut termasuk Taman Malihah, Bako, SMK Matang Jaya, SMK Agama Matang 2, Kampung Benuk Homestay, SJK Chung Hua Batu Kawa, King Centre, Muara Tebas, dan Terminal Bas Bau.
Dengan pelaksanaan SBST, tambang subsidi RM1 di laluan-laluan berkenaan akan dihentikan dan digantikan dengan sistem tambang MyBas50, yang menawarkan pas perjalanan tanpa had pada kadar RM50 sebulan.
Dalam usaha menjadikan pengangkutan awam lebih mesra pengguna, golongan pelajar, warga emas, dan orang kelainan upaya (OKU) akan menikmati perjalanan percuma di bawah program ini.
Walau bagaimanapun, bagi kawasan yang tidak termasuk dalam SBST, Program Subsidi Tambang Rata RM1 masih diteruskan bagi memastikan kemudahan pengangkutan awam yang mampu milik terus dinikmati oleh rakyat, terutamanya golongan berpendapatan rendah (B40).
Kementerian Pengangkutan Sarawak menegaskan komitmennya untuk terus meningkatkan sistem pengangkutan awam di negeri ini, bukan sahaja untuk manfaat rakyat tetapi juga sebagai langkah mengurangkan kesesakan jalan raya.-EDISI UKAS