SEBUYAU: Sarawak tidak terlibat dalam kenaikan tarif elektrik seperti yang diumumkan Tenaga Nasional Berhad (TNB).
Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Dato Sri Julaihi Narawi berkata, untuk rekod tarif bagi elektrik dan air adalah di bawah bidang kuasa Kerajaan Sarawak.
Malah jelasnya, Kerajaan Sarawak tiada perancangan untuk menaikkan kadar tarif sedia ada.
"Tapi mungkin kita boleh melihat bagaimana mereka mengenakan tarif baharu dan mungkin kita boleh belajar apa yang mereka lakukan tetapi ia tidak ada kena mengenalah.
"Namun, seperti yang saya katakan tadi, tarif yang diumumkan oleh TNB adalah untuk Semenanjung Malaysia sahaja,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa ditemui media selepas menunaikan solat sunat Aidilfitri di Masjid Darul Aman Sebangan pada Isnin.
TNB pada Disember lepas telah mengumumkan kenaikan tarif elektrik asas sebanyak 14 peratus
bagi tempoh 2025 hingga 2027.
TNB menyatakan kenaikan perlu untuk menampung kos operasi dan pembangunan infrastruktur.-EDISI UKAS