KUCHING: Kemeriahan Sambutan Hari Raya Aidilfitri di Sarawak terus terserlah dengan penganjuran Majlis Ramah Tamah Aidilfitri 2025 anjuran Yang Di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan isteri Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi di Astana Negeri Sarawak, pada Isnin.
Turut hadir memeriahkan majlis itu ialah Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Dr. Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg bersama barisan kepimpinan kerajaan negeri, yang sebelum itu menunaikan Solat Sunat Aidilfitri di Masjid Jamek Negeri Sarawak.
Majlis penuh warna warni itu menyaksikan kehadiran lebih 1,000 tetamu, terdiri daripada orang awam, wakil badan bukan kerajaan (NGO), syarikat swasta, badan beruniform serta pelbagai lapisan masyarakat.
Apa yang lebih menarik, majlis ini menjadi simbol perpaduan dengan kehadiran tetamu dari pelbagai kaum dan latar belakang, semuanya mengenakan pakaian tradisi berwarna-warni.
Suasana meriah dengan keindahan baju Melayu, baju kurung, dan pakaian tradisional lain yang mencerminkan keharmonian rakyat Sarawak dalam meraikan perayaan.
Tetamu dihidangkan dengan pelbagai juadah enak termasuk rendang, ketupat, sate, mee jawa, serta pelbagai lagi hidangan yang melambangkan kemeriahan perayaan ini.
Majlis seperti ini bukan sahaja mengeratkan hubungan antara pemimpin dan rakyat, tetapi juga menjadi platform menyemai perpaduan dalam kepelbagaian yang menjadi identiti negeri Sarawak.-EDISI UKAS