KUCHING: Jawatankuasa Kerja Bazaar Gawai Dayak Sarawak 2024 akan menonjolkan kelainan kepada Bazaar Gawai Dayak pada tahun ini dengan menampilkan ‘Gawai Country Night’ sebagai tarikan terbaru pada sambutan 18 Mei kelak.
Timbalan Menteri Pengangkutan Sarawak merangkap Pengerusi Jawatankuasa Kerja Bazaar Gawai Dayak Sarawak 2024 Dato Henry Harry Jinep berkata, ‘Gawai Country Night’ ini dipilih dan diubah suai daripada ‘Siniawan Western Night’ yang popular.
“Kepada sesiapa yang tidak pernah ke ‘Siniawan Western Night’, ini masanya untuk merasai pengalaman tersebut dengan berkunjung ke Bandar Baru MJC, Batu Kawah,” katanya dalam sidang media di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak pada Khamis.
Hadir sama dalam sidang media itu ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Serembu merangkap Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kerja Bazaar Gawai Dayak Sarawak 2024, Miro Simuh dan Setiausaha II Sekretariat Perayaan Gawai Dayak Sarawak 2024 Datu Ik Pahon Joyik.
Dato Henry menambah, penganjur menyasarkan kehadiran orang ramai dari pelbagai kaum dan agama di dengan mengambil kira jumlah pengunjung yang hadir di Siniawan yang mencecah 20,000 orang.
Jelasnya, sebanyak 180 gerai akan dibuka yang menjual makanan, minuman, kraftangan serta pelbagai produk kaum Dayak yang lain.
“Ia merangkumi 45 gerai halal, 45 gerai tidak halal, 35 gerai kraftangan, 39 gerai menjual pelbagai barangan, 10 gerai makanan kering serta tiga gerai yang mempamerkan tiga etnik terbesar Dayak-Iban, Bidayuh dan Orang Ulu,” katanya.
Majlis pelancaran akan diadakan pada 17 Mei depan dan dijangka disempurnakan oleh Timbalan Premier Sarawak merangkap Pengerusi Jawatankuasa Induk Perayaan Gawai Dayak 2024, Datuk Amar Douglas Uggah Embas.
Tambahnya, Bazar Gawai Dayak 2024 di MJC Batu Kawah akan mempamerkan tiga malam persembahan etnik menampilkan kaum Iban, Orang Ulu dan Bidayuh dari 22 hingga 24 Mei.
Pada 18 Mei pula katanya, pengunjung disajikan dengan uji bakat pertandingan Dayung Sangon dan Dari Pogan, saringan Gawai Idol termasuk malam Gawai Country Night yang menjadi tarikan utama.
Pengunjung boleh menyaksikan pertandingan Ratu Gawai Bazar 2024 iaitu Dayung Sangon, Keligit dan Kumang bagi peringkat usia 14 hingga 17 tahun termasuk konsert oleh kumpulan dan artis Dayak popular yang diadakan pada 19 Mei ini.
Katanya, pada 20 Mei pula akan menampilkan peringkat separuh akhir Gawai Idol 2024 manakala pada 21 Mei berlangsung peringkat separuh akhir ‘Battle Of The Band’.
Hari terakhir bazar pada 26 Mei nanti akan dihangatkan dengan Sarawak Kids Got Talent, peringkat akhir Gawai Idol dan majlis penangguhan Bazar Gawai Dayak Sarawak 2024 yang disempurnakan oleh Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak selaku Pengerusi Jawatankuasa Kerja Perayaan Gawai Dayak 2024, Dato Sri Roland Sagah Wee Inn. -EDISI UKAS