GEDONG: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) terus memperluas Program Bantuan Lesen Memandu (MyLesen) di wilayah ini dalam usaha meringankan beban rakyat, khususnya golongan belia luar bandar.
Pengarah JPJ Sarawak, Norizan Jili berkata, program ini menawarkan lesen memandu B2 dengan kos minimum RM250, berbanding harga biasa sekitar RM750.
“MyLesen ini merupakan satu inisiatif kerajaan untuk membantu rakyat, terutamanya mereka di peringkat akar umbi.
"Selain yuran yang lebih rendah, insurans dan kos lain turut ditanggung oleh kerajaan,”katanya ketika berucap di Majlis Penutupan Program MyLesen yang diadakan di Dewan Datuk Patinggi Ali Gedong pada Rabu.
Majlis tersebut telah disempurnakan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg.
Sementara itu, Norizan turut memaklumkan bahawa sejak program ini dilaksanakan tahun lalu, seramai 13,307 peserta di Sarawak telah memperoleh lesen memandu melalui MyLesen, sekali gus mencatat penyertaan tertinggi di Malaysia.
Untuk edisi kali ini, seramai 1,135 peserta dalam kalangan penduduk daerah Gedong telah berjaya menyertai program berkenaan.
Hadir sama ialah Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Hasbi Habibollah, Timbalan Menteri Pembangunan Infrastruktur Sarawak Datuk Ir Aidel Lariwoo, Ahli Parlimen Batang Sadong Rodiyah Sapiee, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simunjan Awla Dris serta dif-dif kenamaan yang lain.-EDISI UKAS