Sarawak Catat Peningkatan Kes Kanser, Tuntut Tindakan Segera

Disiarkan pada 17 Mar 2025
Sumber Berita: UKAS


KUCHING: Sarawak mencatatkan peningkatan ketara dalam jumlah kes baharu kanser, dengan lebih 3,000 diagnosis direkodkan buat pertama kali tahun lalu, berbanding 2,000 kes sebelum ini.

Lebih membimbangkan, kes kanser payudara turut meningkat melebihi 500 kes buat kali pertama.

Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Profesor Dr Sim Kui Hian melahirkan kebimbangan terhadap trend peningkatan ini dan menegaskan perlunya tindakan segera dari semua pihak.

“Kenaikan ini bukan sekadar statistik, ia menunjukkan realiti yang memerlukan perubahan besar.

“Bukan hanya kerajaan negeri atau persekutuan yang perlu bertindak, tetapi semua pihak harus memainkan peranan,” katanya berucap sempena majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Sarawak Energy Berhad dan Roche Malaysia di Hospital Umum Sarawak (HUS) pada Isnin.

Menurut beliau, 70 peratus pesakit kanser di Sarawak dikesan pada peringkat lewat, yang bukan sahaja meningkatkan kos rawatan tetapi turut mengurangkan kadar kelangsungan hidup.

“Kami mahu anda dikesan awal kerana kami sayangkan anda dan mahu anda terus hidup,” tambahnya.

Selain kekurangan tenaga kerja perubatan, Sarawak katanya turut berdepan dengan defisit infrastruktur kesihatan.

“Kami mempunyai 45 peratus kurang katil hospital dan 54 peratus kurang doktor berbanding purata kebangsaan. Kami tidak meminta lebih baik daripada negeri lain, kami hanya mahu layanan yang sama,” katanya.

Dalam usaha menangani isu ini, Datuk Amar Dr Sim mendedahkan bahawa Sarawak kini sedang berunding dengan kerajaan persekutuan untuk mendapatkan lebih banyak kuasa autonomi dalam pengurusan kesihatan.

Beliau menekankan keperluan untuk lebih banyak hospital, pusat rawatan khas seperti pusat jantung, serta peningkatan tenaga kerja dalam sektor kesihatan.

Sebagai langkah awal, lebih 800 kakitangan kesihatan dari Sarawak yang kini berkhidmat di luar negeri telah dikenal pasti untuk dibawa pulang bagi mengisi kekosongan.

Selain itu dedahnya, Sarawak juga bakal menubuhkan Majlis Perubatan Sarawak bagi mempercepatkan pendaftaran doktor tempatan, sejajar dengan usaha memperkukuh kawal selia dan pengurusan tenaga kerja kesihatan di negeri ini.

Turut hadir Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak Dato Sri Fatimah Abdullah, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Sarawak Energy Berhad Datuk Sharbini Suhaili, Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri (Perubatan), Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak Dr Rohani Mat Bah, Pengurus Besar Roche Malaysia Deepti Saraf, Pengarah HUS Dr Ngian Hie Ung serta Presiden Persatuan Kesedaran & Sokongan Kanser Kuching Chris Cheng.-EDISI UKAS