Tun Pehin Sri Dr. Wan Junaidi & Isteri Berbuka Puasa Bersama Warga Polis Sarawak

Disiarkan pada 12 Mar 2025
Sumber Berita: UKAS


KUCHING: Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar meluangkan masa berbuka puasa bersama warga Polis Sarawak di Kompleks Perumahan Polis Tabuan Jaya, di sini pada Rabu.

Ketibaan beliau serta isteri, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi di Masjid Al-Mujahidin, Tabuan Jaya disambut Pesuruhjaya Polis Sarawak, Dato Mancha Ata.

Turut hadir ialah Timbalan Pesuruhjaya Polis Sarawak DCP Saifullizan Ishak, Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak SAC Wong Ing Fung, Ketua Jabatan Pengurusan IPK Sarawak SAC Rizal Abd Rahman Sidek serta Ketua Jabatan Integriti Dan Pematuhan Standard (KJIPS) Sarawak ACP Roselina Daud.

Antara tetamu kenamaan lain yang hadir ialah Panglima Medan Timur Tentera Darat, Leftenan Jeneral Dato’ Mohd. Sofi Md. Lepi dan wakil kepada Panglima Medan Timur Tentera Darat Markas Pemerintahan Medan Timur, Brigedier Jeneral Mohd Athiyah Hasan.

Majlis dimulai dengan sesi bergambar beramai-ramai di pekarangan masjid, diikuti dengan bacaan ayat suci Al-Quran oleh Qari jemputan, sebelum diteruskan dengan acara berbuka puasa yang penuh kesederhanaan dan keberkatan.

Usai berbuka, Tun Pehin Sri Dr. Wan Junaidi dan Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah bersama-sama dengan para tetamu menunaikan solat Maghrib secara berjemaah.

Dalam majlis sama, Tun Pehin Sri Dr. Wan Junaidi serta isteri juga menerima cenderahati sebagai tanda penghargaan dan kenang-kenangan.

Kira-kira lebih 200 jemaah yang hadir tidak melepaskan peluang untuk menunaikan solat Isyak dan solat sunat tarawih di masjid tersebut sebelum menikmati jamuan moreh. -EDISI UKAS