Tabung Haji Perkukuh Kebajikan & Galakkan Budaya Menabung

Disiarkan pada 12 Mar 2025
Sumber Berita: UKAS


BINTULU: Tabung Haji (TH) terus memperkukuh peranannya dalam memelihara kebajikan umat Islam dengan menyerahkan sumbangan van jenazah menerusi Program Mobiliti TH 2024 di Masjid Darussalam, Kampung Baru, Bintulu pada Isnin.

Majlis serahan ini disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jepak, Iskandar Turkee bersama kepimpinan Tabung Haji Wilayah Sabah & Sarawak.

Dalam ucapannya, Iskandar menegaskan kepentingan memupuk budaya menabung sejak awal bagi memastikan lebih ramai umat Islam berpeluang menunaikan haji.

“Tempoh menunggu haji adalah panjang dan dengan menabung lebih awal, anak-anak kita akan lebih bersedia untuk melaksanakan ibadah ini,” katanya.

Beliau turut menyentuh keperluan memperluaskan kerjasama TH dengan masjid-masjid lain di Sarawak, termasuk di Sibu, bagi memastikan pengurusan jenazah yang lebih sistematik.

“Inisiatif ini diharap dapat memudahkan urusan pengurusan jenazah di masjid dan surau, sekaligus meringankan beban keluarga si mati.

“Saya berharap lebih banyak masjid dapat menikmati kemudahan ini,” tambahnya lagi.

Selain itu, beliau menggesa pemimpin masyarakat agar memainkan peranan dalam menyebarkan kesedaran kepentingan menabung untuk haji dan umrah, terutama dalam kalangan generasi muda.

Program Mobiliti TH yang diperkenalkan sejak 2016 ini bertujuan membantu masjid dan surau mendapatkan pengangkutan jenazah dan van komuniti.

Tahun ini, TH menyumbangkan 17 van dwifungsi bernilai RM3 juta bagi kegunaan masjid dan surau terpilih di seluruh negara.

Dengan inisiatif ini, TH bukan sahaja memperkukuh kebajikan masyarakat tetapi juga memastikan perkhidmatannya terus relevan dalam memenuhi keperluan umat Islam di Malaysia. - EDISI UKAS