Majlis Sejambak Kasih Aidilfitri 2025: Kerajaan Sarawak Peruntuk RM446,500 Bantu Golongan Memerlukan

Disiarkan pada 11 Mar 2025
Sumber Berita: UKAS


KUCHING: Seramai 150 penerima bantuan hadir di Majlis Sejambak Kasih Aidilfitri 2025 yang berlangsung di pekarangan Majma Mall di sini pada Selasa.

Mereka menerima sumbangan wang tunai RM100 beserta hamper barangan makanan bernilai RM80 sebagai tanda keprihatinan kerajaan dalam membantu golongan yang memerlukan menjelang Hari Raya Aidilfitri.

Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, bagi mereka yang tidak dapat hadir, bantuan wang tunai RM100 akan dikreditkan terus ke akaun penerima.

“Majlis Sejambak Kasih Aidilfitri tahun ini menyaksikan seramai 4,465 penerima di Kuching mendapat manfaat daripada jumlah keseluruhan 10,549 penerima bantuan bulanan kebajikan di negeri ini.

“Ini melibatkan peruntukan sebanyak RM446,500 khusus untuk penerima di Kuching,” katanya ketika berucap dalam majlis berkenaan.

Jelas beliau, objektif utama penganjuran majlis ini adalah untuk meringankan beban kewangan golongan kurang berkemampuan serta menceriakan mereka dalam persiapan menyambut Hari Raya Aidilfitri.

Tambahnya, dalam tempoh Januari hingga Februari 2025, Jabatan Kebajikan Masyarakat Sarawak (JKMS) telah menyalurkan bantuan berjumlah RM49,200,500 kepada seramai 54,384 penerima di seluruh negeri.

Bantuan ini adalah sebahagian daripada usaha kerajaan negeri dalam meningkatkan kualiti hidup rakyat, khususnya golongan yang memerlukan, jelasnya lagi.

Majlis ini turut menyaksikan penyerahan dua insentif penting kerajaan negeri, iaitu Kenyalang Gold Card (KGC) untuk warga emas serta kad Orang Kurang Upaya (OKU) kepada penerima yang layak.

Selain itu, empat wakil keluarga yang menjadi mangsa kebakaran rumah di Kampung Tabuan Lot pada 5 Mac 2025 turut hadir bagi menerima bantuan kebajikan.

Kebakaran tersebut melibatkan 38 orang mangsa yang kehilangan tempat tinggal.

Justeru, sebanyak RM11,700 telah disalurkan dalam bentuk bantuan makanan kering, kelengkapan tidur, dan peralatan dapur.

Selain itu, wang saku, pakaian harian, pakaian sekolah, serta peralatan sekolah berjumlah RM18,400 turut diberikan kepada mangsa bagi membantu mereka memulakan kehidupan baharu selepas tragedi tersebut.

Majlis Sejambak Kasih Aidilfitri ini merupakan salah satu inisiatif kerajaan negeri dalam memastikan golongan memerlukan tidak terpinggir, selaras dengan agenda kesejahteraan rakyat Sarawak.

Turut hadir Timbalan Menteri Pembangunan Wanita dan Kanak-Kanak Sarawak, Datuk Rosey Yunus, Timbalan Menteri Pembangunan Kesejahteraan Komuniti Sarawak Datuk Mohammad Razi Sitam, Pengarah JKMS Semawi Mohamad serta tetamu jemputan lain.-EDISI UKAS