116 Geran MRP 2024 Untuk Organisasi Di DUN Marudi

Disiarkan pada 10 Mar 2025
Sumber Berita: UKAS


MIRI: Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak Datuk Dr Penguang Manggil telah menyerahkan 116 geran projek kecil luar bandar (MRP) bagi tahun 2024 untuk konstituensi Marudi pada Sabtu.

Geran tersebut yang disampaikan dalam Sambutan Hari Wanita anjuran Biro Wanita DUN Marudi telah diberikan kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), Biro Wanita, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang bernilai RM1.35 juta.

Menurut Datuk Dr Penguang, geran MRP tersebut bertujuan untuk menjalankan aktiviti dan program organisasi sepanjang tahun ini.

"Saya berharap organisasi-organisasi yang mendapat geran ini menggunakan dengan cermat dan sebaik-baiknya," katanya.

Dalam pada itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Marudi itu memberitahu, kaum wanita perlu mengikut arus pemodenan yang dibawa oleh Kerajaan Sarawak.

Dengan tema pada tahun ini 'Wanita Beraspirasi Membina Legasi', beliau menyeru wanita terus berani menceburi benda yang baharu.

"Wanita perlu lebih dinamik, celik IT, mempunyai kualiti kepimpinan yang baik, berani menceburi bidang perniagaan dan meneroka bidang baharu yang belum diterokai bagi mengurangkan jurang dan ketidaksamaan jantina," jelasnya.

Pada majlis tersebut, isteri kepada ADUN Marudi, Datin Monica Ukong telah mempersembahkan 'Ngajat Emas' dan berjaya mengutip sebanyak RM5,000 untuk tabung Biro Wanita DUN Marudi. -EDISI UKAS