LAWAS: Skim Pembesaran Kampung (SPK) Trusan bakal menyediakan 59 unit rumah mampu milik dalam usaha kerajaan mewujudkan penempatan yang moden, tersusun dan dilengkapi dengan infrastruktur asas bagi kesejahteraan rakyat.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, projek ini melibatkan kawasan seluas 7.5 hektar atau 18.53 ekar dan merupakan salah satu inisiatif kerajaan untuk meningkatkan akses kepada perumahan berkualiti serta mampu dimiliki oleh penduduk setempat.
Jelasnya, bagi Fasa 1, sebanyak 15 unit rumah akan dibina menggunakan teknologi Sistem Binaan Berindustri (IBS) yang menjanjikan pembinaan lebih efisien dan berkualiti.
“Pembinaan dijadualkan bermula pada Mac tahun ini dan dijangka siap dalam tempoh sembilan bulan menjelang 2025.
“Projek ini selari dengan hasrat kerajaan untuk mewujudkan penempatan yang lengkap dengan infrastruktur moden seperti jalan berturap, parit konkrit serta kemudahan utiliti, bagi memastikan kesejahteraan penduduk,” katanya semasa Majlis Pelancaran Rumah Mampu Milik SPK Trusan, Lawas, di sini pada Sabtu.
Dalam pada itu, Datuk Amar Awang Tengah menambah, kerajaan turut merancang pembangunan semula Bazaar Trusan sebagai sebahagian daripada Program Pembaharuan Bandar (Urban Renewal) bagi menghidupkan kembali pusat ekonomi tempatan.
Jelasnya, antara komponen utama yang bakal dilaksanakan termasuk pembangunan Pejabat Daerah Kecil Trusan yang baharu, kawasan komersial merangkumi kedai, gerai dan tamu, Anjung Usahawan untuk peniaga kecil, kuarters kerajaan serta landskap baharu yang akan menjadi mercu tanda bagi kawasan itu.
“Kami mahu melihat Trusan berkembang pesat dengan kemudahan yang lebih baik, memberi manfaat kepada penduduk serta menarik lebih ramai pengunjung,” ujarnya.
Selain itu, beliau berkata kerajaan juga mengenal pasti sekurang-kurangnya sembilan keluarga yang perlu diberikan penempatan baharu di kawasan itu sebagai sebahagian daripada usaha pembangunan semula Bazaar Trusan.
“Sehingga kini, kerajaan telah melaksanakan 81 projek SPK dan HPS sepanjang Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) dengan penyediaan 7,925 lot tanah dan peruntukan melebihi RM1.436 bilion.
“Di Lawas sahaja, terdapat lapan skim pembesaran kampung, termasuk Skim Pembesaran Kampung Long Tuan di Trusan, yang telah diluluskan di bawah Projek Rakyat dan bakal dikendalikan oleh Lembaga Pembangunan Dan Lindungan Tanah (LCDA).
Datuk Amar Awang Tengah turut menegaskan bahawa kerajaan akan memastikan setiap projek yang telah diluluskan dilaksanakan secepat mungkin bagi memberi manfaat kepada lebih ramai rakyat Sarawak, sejajar dengan visi pembangunan negeri.
Hadir sama Ahli Parlimen Lawas, Dato Sri Henry Sum Agong, Pengurus Besar LCDA, Dato Datu Sr Zaidi Mahdi, Pengarah Jabatan Tanah dan Survei Sarawak, Awang Zamhari Awang Mahmood serta tetamu lain.-EDISI UKAS