Sarawak Perkukuh Pendidikan, RM10 Juta Diperuntukkan Untuk Sekolah Menengah Persendirian Cina

Disiarkan pada 02 Mar 2025
Sumber Berita: UKAS


MIRI: Kerajaan Sarawak terus menunjukkan komitmennya dalam menyokong sektor pendidikan dengan memperuntukkan RM10 juta setiap tahun kepada Sekolah Menengah Persendirian Cina di negeri ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senadin, Dato Sri Lee Kim Shin, berkata peruntukan ini mencerminkan dasar kerajaan negeri yang inklusif dalam memastikan semua kaum mendapat manfaat daripada pembangunan pendidikan.

Selain itu, kerajaan Sarawak turut menyalurkan RM12 juta kepada Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan RM3 juta melalui Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR) bagi menyokong pertumbuhan agama lain seperti Kristian, Buddha, dan Hindu.

“Keprihatinan kerajaan negeri terhadap pendidikan mencerminkan usaha berterusan dalam melahirkan generasi berilmu dan berdaya saing, sekali gus memastikan masa depan Sarawak yang lebih cerah,” katanya dalam Majlis Rumah Terbuka Persatuan Klan Ying Yong Cheng Miri di Imperial Hotel Miri pada Ahad.

Menurutnya, pendapatan negeri yang kukuh, meningkat daripada RM50 bilion pada 2017 kepada RM142 bilion tahun ini, membolehkan lebih banyak bantuan disalurkan kepada rakyat dalam pelbagai sektor, termasuk pendidikan.

Beliau berharap semangat perpaduan dan kerjasama dalam komuniti dapat terus diperkukuhkan, sejajar dengan usaha kerajaan membangun dan memajukan Sarawak secara bersama.-EDISI UKAS