BINTULU: Hospital Bintulu kini menjadi hospital awam kedua di Sarawak yang memiliki Catheterization Laboratory (cath lab), sekali gus memudahkan pesakit jantung di kawasan ini mendapatkan rawatan tanpa perlu dirujuk ke Pusat Jantung Sarawak di Kuching.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Professor Dr. Sim Kui Hian berkata kemudahan ini merupakan satu pencapaian penting dalam meningkatkan akses rawatan kardiologi di negeri ini.
Menurutnya, cath lab pertama di Sarawak sebelum ini ditempatkan di Hospital Umum Sarawak (HUS) sebelum dipindahkan ke Pusat Jantung Sarawak.
Kini, Hospital Bintulu menjadi hospital awam kedua di negeri ini yang memiliki kemudahan tersebut, menjadikannya satu pencapaian penting dalam perkhidmatan kesihatan kardiologi di Sarawak.
“Dengan adanya cath lab ini, pesakit tidak lagi perlu dirujuk ke Pusat Jantung Sarawak di Kuching.
“Sekiranya seseorang mengalami serangan jantung atau arteri tersumbat, rawatan boleh terus diberikan di sini,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa lawatan rasmi ke Catheterization Laboratory (cath lab) di Hospital Bintulu, pada Selasa.
Datuk Amar Profesor Dr. Sim menegaskan kepentingan cath lab dalam rawatan pesakit jantung, terutamanya bagi kes-kes di mana darah masih tersumbat walaupun ubat telah diberikan untuk mencairkannya.
“Apa yang lebih penting sekarang adalah kita telah berjaya membangunkan sekurang-kurangnya dua pusat rawatan jantung dengan teknologi terkini.
“Semalam sahaja, pasukan perubatan berjaya melakukan enam prosedur rawatan dan hari ini lima lagi,” tambahnya.
Sementara itu, Pakar Perunding Kardiologi dan Ketua Jabatan di Pusat Jantung Sarawak, Dr Ong Tiong Kiam menyatakan bahawa cath lab Hospital Bintulu ini berfungsi sebagai Mini Satelit Pusat Jantung Sarawak yang akan meningkatkan keupayaan rawatan jantung di bahagian tengah Sarawak.
Dalam keadaan ini, Dr. Ong dan pasukannya akan memainkan peranan dalam memberi rawatan intervensi kardiologi.
Naik taraf makmal radiologi kepada cath lab ini adalah hasil kutipan dana sebanyak lebih RM2 juta yang disumbangkan oleh PETROS dan Press Metal melalui Yayasan Jantung Sarawak.
Turut hadir dalam lawatan itu ialah Pengarah Hospital Bintulu, Dr. Suzalinna Sulaiman.-EDISI UKAS