Kerajaan Sarawak Komited Basmi Kemiskinan, Fokus Intervensi Bersasar

Disiarkan pada 24 Feb 2025
Sumber Berita: UKAS


KUCHING: Kerajaan Sarawak terus komited dalam usaha membasmi kemiskinan dengan strategi intervensi bersasar bagi memastikan rakyat yang memerlukan mendapat bantuan sewajarnya.

Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Dato Sri Fatimah Abdullah, menegaskan bahawa negeri ini optimis untuk mengurangkan kadar kemiskinan dengan mengambil pendekatan makro serta pengesahan data secara menyeluruh.

“Kita amat percaya bahawa tahun hadapan, selepas kita berjaya menghapuskan miskin tegar, kita akan menumpukan perhatian kepada golongan miskin secara keseluruhan.

"Dengan usaha berterusan, kita pasti dapat mengurangkan kadar kemiskinan di Sarawak,” katanya dalam sidang media mengenai Pembasmian Miskin Tegar di Sarawak yang diadakan di Bangunan Baitulmakmur II pada Isnin.

Beliau menjelaskan bahawa inisiatif yang dilaksanakan oleh kerajaan negeri, termasuk yang diperkenalkan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg telah memberikan impak positif terhadap ekonomi rakyat.

Jelasnya, program-program pembangunan makro ini telah meningkatkan pendapatan isi rumah serta membuka peluang ekonomi baharu kepada golongan berpendapatan rendah.

“Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) bagi golongan miskin di Sarawak ditetapkan pada RM2,618, manakala untuk miskin tegar ialah RM1,298.

“Oleh itu, kerajaan negeri memberi tumpuan kepada mengenal pasti individu dan keluarga yang tergolong dalam kategori ini melalui sistem E-Kasih,” ujarnya.

Dato Sri Fatimah turut menegaskan bahawa data yang diperoleh dari E-Kasih akan melalui proses verifikasi ketat bagi memastikan hanya mereka yang benar-benar layak menerima bantuan.

Katanya, proses ini melibatkan pemimpin komuniti seperti ketua kaum dan ketua masyarakat yang lebih memahami keadaan sebenar penduduk di kawasan masing-masing.

“Apabila kita diberikan angka kasar, perkara pertama yang dilakukan adalah pengesahan. Kita perlu memastikan sama ada mereka benar-benar tergolong dalam kategori miskin tegar atau tidak.

"Jawatankuasa khas yang dibentuk akan meneliti dan mengesahkan status mereka,” tambah beliau.

Kerajaan Sarawak katanya juga memperkenalkan pelbagai bentuk bantuan, termasuk Skim Kasih Sarawak (SKAS), yang bertujuan meningkatkan pendapatan boleh guna bagi keluarga yang memerlukan.

Dengan adanya skim ini, rakyat yang kurang berkemampuan dapat membeli keperluan asas seperti beras dan gula tanpa terlalu membebankan kewangan mereka, tambah beliau.

Dalam usaha mencapai sasaran sifar miskin tegar, kerajaan negeri turut menetapkan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) bagi memastikan setiap inisiatif yang dilaksanakan membuahkan hasil.

Dedahnya, pendekatan bersepadu antara pelbagai agensi kerajaan akan terus diperkukuh bagi mempercepatkan proses pembasmian kemiskinan di negeri ini.

“Kami yakin dan percaya bahawa dengan pembangunan makro serta pendekatan yang telah kita lakukan untuk membasmi miskin tegar, kita mampu mengurangkan kadar kemiskinan secara keseluruhan.

"Fokus kita adalah memastikan tiada rakyat Sarawak yang tercicir daripada menerima bantuan dan sokongan yang sewajarnya,” tegas Dato Sri Fatimah.

Hadir sama Setiausaha Tetap KPWK, Datu Felicia Tan Ya Hua serta tetamu lain.-EDISI UKAS