SSC Perkasa Pembangunan Sukan Sarawak, Lahirkan Atlet Bertaraf Dunia

Disiarkan pada 22 Feb 2025
Sumber Berita: UKAS


KUCHING: Perbadanan Sukan Sarawak (SSC) terus memainkan peranan penting dalam memperkasa pembangunan sukan di wilayah ini, dengan matlamat untuk melahirkan atlet bertaraf dunia.

Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, sokongan penuh daripada kerajaan Sarawak membolehkan SSC terlibat aktif dalam menyediakan kemudahan sukan terbaik, latihan profesional dan pembangunan bakat muda.

Menurutnya, usaha ini dijangka memberi peluang kepada para atlet untuk berkembang dan bersaing di peringkat kebangsaan dan antarabangsa, seterusnya menjadikan Sarawak sebagai pusat kecemerlangan sukan di Malaysia.

"Harapan kita adalah agar SSC dapat terus memberi perhatian dan membimbing atlet-atlet dari bandar mahupun luar bandar, dengan tujuan melahirkan juara bukan hanya di peringkat kampung, tetapi juga di peringkat kebangsaan, serantau dan seterusnya di peringkat dunia.

"InsyaAllah, dengan usaha dan doa yang berterusan, impian ini akan tercapai suatu hari nanti,"katanya ketika berucap menyempurnakan Majlis Malam Apresiasi SSC 2025, di sebuah hotel terkemuka, di sini pada Sabtu.

Menjelas lanjut, Dato Sri Abdul Karim memberitahu, kerajaan Sarawak kini sedang giat membangunkan 18 Kompleks Sukan Mini di setiap daerah, yang dijangka menjadi asas penting dalam pembangunan sukan dan pencarian bakat baru.

Beberapa kompleks katanya, sudah siap dibina, sementara ada yang masih dalam proses pembinaan.

"Setiap kompleks sukan ini dianggarkan menelan kos antara RM15 juta hingga RM20 juta, yang akan dapat menampung kira-kira empat hingga lima jenis sukan.

"Atlet yang menunjukkan potensi luar biasa akan dibawa ke Kuching untuk menjalani latihan pusat di Perkampungan Sukan, sebuah fasiliti khusus yang sedang dibangun untuk mempersiapkan mereka mencapai kecemerlangan di peringkat antarabangsa.

"Dengan pelaburan jangka panjang ini, kita berharap dapat menjadikan Sarawak sebagai pusat sukan yang berdaya saing di Malaysia, melahirkan atlet-atlet muda yang dapat mengharumkan nama Sarawak di pentas dunia,"ujarnya.

Selain menyentuh persiapan untuk Sukan Malaysia (SUKMA) seterusnya yang akan diadakan di Selangor pada 2026, Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan itu juga berkongsi tentang potensi Sarawak untuk menjadi tuan rumah acara antarabangsa yang dapat memberi impak kepada ekonomi dan pelancongan, seperti yang dilihat dalam kejayaan penganjuran Sukan Kriket Piala Dunia 2025 baru-baru ini yang disiarkan secara langsung ke 180 negara.

Sehubungan itu, beliau menggesa persatuan-persatuan sukan di wilayah ini agar lebih berani dalam merancang dan membawa acara sukan berskala besar dan tidak hanya tertumpu pada acara berskala kecil.

“Bawa sukan ke Sarawak, sama ada di peringkat kebangsaan atau serantau. Sediakan kertas kerja, kerana kerajaan kita akan sentiasa memberi sokongan penuh dan tidak akan membiarkan kos menjadi halangan dalam usaha memperkembangkan sukan,” tegas beliau.

Dato Sri Abdul Karim mengakhiri ucapannya dengan menyatakan keyakinan bahawa SSC akan terus komited dalam mencapai impian Sarawak untuk melahirkan juara dunia di arena sukan global.

Majlis tersebut turut menyaksikan 45 kakitangan SSC menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC), 22 menerima Anugerah Khidmat Cemerlang 2024, termasuk sumbangan penghargaan kepada 11 pesara yang telah menyumbang jasa dan bakti sepanjang perkhidmatan mereka di SSC.

Hadir sama ialah Setiausaha Tetap Kementerian Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Morshidi Frederick, Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif SSC merangkap Pengarah Majlis Sukan Negeri Sarawak (MSNS) Khairul Nizam Morshidi, Pengarah Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) selaku bekas Ketua Pegawai Eksekutif SSC dan bekas Pengarah MSNS Awang Putrayusrie Awang Redzuan serta beberapa kenamaan yang lain.-EDISI UKAS